Wednesday, April 25, 2012

Song Lam Nghe An hormati Penyu


Harian Metro

JUARA Vietnam, Song Lam Nghe An tetap menghormati keupayaan Terengganu menjelang perlawanan Kumpulan F Piala AFC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu hari ini meskipun tuan rumah berdepan masalah dibelenggu prestasi tidak menentu.


Penolong jurulatih, Le Ky Bhoung berkata, kedua-dua pasukan sudah tidak mampu untuk kalah lagi kerana tempat di pusingan seterusnya hanya untuk pasukan yang bakal menang baki dua perlawanan kumpulan.




“Kami mempunyai empat mata manakala Terengganu memiliki sedikit kelebihan kerana sudah memungut enam mata tapi peluang kami akan terbuka luas sekiranya menewaskan Terengganu.




“Walaupun Terengganu gagal meraih kemenangan di tempat sendiri dalam saingan Piala AFC, kami amat menghormati mereka dan meletakkan peluang kami cuma 50-50 saja untuk mencipta kemenangan.

“Kami sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan begitu juga dengan perlawanan ini walaupun kami tidak dapat menggunakan khidmat empat tonggak kali ini,” katanya.


Dua pemain pertahanan, Phan Doan Dat and Tran Son Ha tidak diturunkan kerana digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning manakala penyerang Gustave Bebbe and Nguyen Ngoc Anh pula tidak mengikuti rombongan ke Terengganu kerana mengalami kecederaan.





Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris yang masih dibelenggu masalah kecederaan dan keletihan pemain berkata, anak buahnya juga tertekan dengan sikap segelintir penyokong yang tidak puas hati dengan kekalahan di tangan Sime Darby dalam saingan Piala FA.

“Saya harap mereka melupakan tindakan penyokong yang menunjuk perasaan di stadium selepas perlawanan Sabtu lalu dan memberi sepenuh perhatian kepada saingan Piala AFC pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...