Thursday, April 26, 2012

Terengganu bangkit meratah Song Lam Nghe An 6-2



KUALA TERENGGANU 26 April - Terengganu mencuri tumpuan untuk mengesahkan tempat bagi melayakkan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Asia (AFC) setelah membenam cabaran pasukan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An, 6-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Biarpun berhadapan dengan tekanan psikologi penyokong akibat beberapa siri kekalahan pasukan Pantai Timur itu sejak akhir-akhir ini, nyata ia tidak melunturkan semangat anak didik Mat Zan Mat Aris untuk memburu kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan F.


Aksi yang bertenaga dipamerkan di hadapan sekitar 3,000 penyokong pada awal babak permainan membuahkan hasil apabila Mohamad Ashari Samsudin terlebih dahulu meledak gol pembukaan seawal minit keempat.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Terengganu menghuni tangga kedua dengan pungutan sembilan mata, kekurangan satu mata di belakang pasukan kelab Kitchee FC dari Hong Kong apabila pasukan tersebut sekadar seri tanpa jaringan dengan Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura, hari ini.

Terengganu akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Kitchee FC di Stadium Tseung Kwan, Hong Kong, pada 9 Mei ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...