Wednesday, April 25, 2012

'Tiada sebab perlu berundur'



Ahmad Said (kiri) bersama Che Mat Jusoh menjelaskan situasi semasa pasukan bola sepak Terengganu kepada media di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor



KUALA TERENGGANU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh menegaskan, tiada sebab untuknya mengundurkan diri dan melepaskan jawatannya di dalam persatuan berkenaan seperti yang didesak oleh segelintir penyokong bola sepak negeri itu.


Malah, pengakuan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menyatakan bahawa PBSNT dan jurulatih pasukan Terengganu telah memberikan sepenuh komitmen terhadap kejayaan skuad penyu selama ini membuktikan beliau telah mengemudi persatuan itu dengan baik.



"Kenapa saya perlu letak jawatan sedangkan Menteri Besar sendiri telah akui dalam mesyuarat petang ini (kelmarin) bahawa beliau berpuas hati dengan kita dan jika pasukan ini merosot sekali pun memang tidak wajar saya tinggalkan pasukan ini dalam begini dan seharusnya kita perlu bagi sokongan kepada mereka.


"Jadi pada saat ini saya tidak mahu membuang masa memikirkan tentang permintaan penyokong itu dan apa yang lebih penting saya tumpukan sepenuh perhatian kepada pemain dan kita mahu menang pada perlawanan esok (hari ini)," tegasnya.


Che Mat menegaskan demikian kepada pemberita selepas menemui Menteri Besar di sini, semalam bagi membincangkan tentang prestasi pemain dan kedudukannya dalam persatuan tersebut.


Sabtu lalu, beberapa penyokong Terengganu berarak dan menimbulkan kekecohan di kediaman Presiden PBSNT itu ekoran kekalahan skuad penyu kepada Sime Darby 1-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA sambil mendesak Che Mat dan jurulatih Mat Zan Mat Aris meletak jawatan.


Bagaimanapun, Mat Zan bercakap kepada Utusan Malaysia, kelmarin bertegas tidak akan melepaskan jawatannya hanya semata-mata kerana desakan penyokong.


Dalam pada itu, Che Mat yang juga berpendirian sama mengakui, ada kalanya pasukan berada di bawah dan ada kalanya di atas, justeru itu, seharusnya sebagai penyokong mereka perlu memberi sokongan kepada pemain dan bukannya tekanan dengan mengugut tidak mahu turun menyaksikan perlawanan.


"Ia bukan satu tindakan yang rasional dan saya mahu beritahu bahawa Terengganu merupakan antara pasukan terbaik di negara dan kita harus berbangga dengan mereka," jelasnya.


Sementara itu, Menteri Besar berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan pengurusan, jurulatih dan pasukan negeri setakat ini dan tidak timbul soal Che Mat dan Mat Zan perlu letak jawatan.


Tambah Ahmad lagi, perbincangan kira-kira satu jam semalam lebih menjurus kepada bagaimana mahu meningkatkan prestasi pemain dalam misi memburu kejayaan pada Piala FA nanti.


Jelasnya, Terengganu merupakan pasukan hebat, namun senarai pemain yang terhad ekoran diburu kecederaan lama menyebabkan peneraju pasukan terpaksa menurunkan pemain yang kurang menyerlah kerana tiada pilihan buat masa ini.


"Untuk itu, saya mahu penyokong lupakan rasa tidak puas hati mereka itu kerana tindakan menyerang rumah presiden bukan cara yang sesuai, malah hasrat mereka untuk memboikot perlawanan juga tidak kena pada tempatnya.


"Bagi meningkatkan prestasi pemain, untuk permulaan kita akan cuba buat perubahan pada formasi permainan dengan formula 'rahsia' yang saya cadangkan dan kita akan cuba pada perlawanan menentang Song Lam Nghe An malam esok (malam ini), jika berjaya kita akan lakukan perkara sama pada Piala FA nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...