Wednesday, May 16, 2012

‘Annuar berhak ambil tindakan’


Harian Metro

PRESIDEN Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menyifatkan Tan Sri Annuar Musa berhak dan bebas mengambil tindakan lanjut berhubung penggantungan dikenakan terhadapnya.

“Ini negara bebas, dia (Annuar) boleh bawa ke mana-mana, saya tidak mahu komen lanjut. Yang perlu diberikan perhatian, dia sudah dihukum mengikut statut FAM, itu saja, tiada apa-apa lagi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia manakala FAM turut menyumbang RM30,000 pada satu majlis pagi semalam.

Timbalan Presiden FAM yang digantung dua tahun enam bulan itu dilapor mahu menghantar surat atau notis pada hujung minggu ini kepada Jawatankuasa Eksekutif badan induk bola sepak negara itu supaya mempertimbangkan untuk mewujudkan Tribunal Timbang Tara bagi mendengar kes membabitkan dirinya.



Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, terpulang kepada Annuar untuk menghantar surat terbabit namun keputusan sama ada diterima atau sebaliknya tertakluk kepada budi bicara 15 exco FAM termasuk Presiden namun perlu melihat kepada peraturan ditetapkan Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (Fifa).


“Ia terletak atas exco sama ada hendak membuang peraturan dan sistem yang ada. Kalau hendak diubah kita tidak boleh lari daripada peraturan dan panduan digariskan. FAM mengambil tindakan mengikut peraturan sedia ada,” katanya.



Namun andai exco menolaknya, Azzuddin berkata, mengikut sistem yang wujud tiada laluan untuk membawanya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) namun beliau bukanlah pihak yang membuat keputusan.




Ditanya mengenai tindakan Annuar yang masih menghadiri majlis membabitkan Persatuan Bola sepak Kelantan, Azzuddin berkata, FAM tidak mahu terburu-buru dan mengesahkan sudah memaklumkan Fifa mengenai penggantungan itu kerana masing-masing mempunyai interpretasi tersendiri 

Sementara itu, FAM turut melihat secara positif dan menyokong penuh pemergian pemain muda negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor ke Portugal bagi menjalani ujian pemilihan pada minggu ini selepas kejayaan membanggakan penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali menjadi pemain profesional di Indonesia.


Malah perbelanjaan bapanya, Mansor Mustapha, 48, yang turut menemani Nazmi Faiz ke Portugal ditanggung FAM menerusi persetujuan Sultan Ahmad Shah dengan harapan pemain terbabit terpilih untuk beraksi di pentas Eropah selain menimba ilmu bagi meningkatkan tahap permainannya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...