Saturday, May 26, 2012

Azzuddin nafi silap langkah


Harian Metro

GEJALA rasuah yang semakin serius menyelubungi arena bola sepak negara mencetuskan persoalan sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah tersilap langkah dengan menerima pasukan Singapura, Lions XII menyertai Liga Super musim ini.

Kes terbaru membabitkan dakwaan dua rakyat Malaysia di Singapura iaitu pengadil, Shokri Nor (gambar) dan bekas pemain Kedah, Thana Segar mengatur perlawanan Lions XII menentang Sarawak di Singapura 22 Mac lalu memberi kesan buruk kepada imej Liga Super yang mula mendapat perhatian peminat tempatan.


Bagaimanapun Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad tidak setuju jika meletakkan pembabitan pasukan Singapura menerusi kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sebagai punca utama gelaja tidak bermoral itu berlaku.

“Saya tidak berkongsi pendapat itu kerana ini terletak kepada orang berkenaan (yang mengambil rasuah), walaupun Singapura tidak menyertai Liga Super, kegiatan mengatur perlawanan, rasuah ini kita dengar samar-samar tapi tak dinafikan mungkin ada tapi tak tertangkap,” katanya.

Beliau yang ditemui di Budapest, Hungary sempena Kongres Fifa kelmarin bagaimanapun tidak menafikan risiko tinggi gejala mengatur perlawanan dengan penyertaan LionsXII dalam liga.

“Dengan kemasukan Singapura saya tak nafikan ia mempertingkatkan lagi kerana Singapura sebuah pusat selain negara seperti Hong Kong yang kegiatan bookie amat aktif tapi tidak boleh menuding jari terus kerana mempelawa Singapura masuk Liga,” tegas Azzuddin.

Skuad LionsXII kendalian V Sundramoorthy menyertai Liga Super selepas FAM dan FAS bersetuju dengan perjanjian kerjasama selama lima tahun yang turut menyaksikan sebagai pertukaran, Harimau Muda A beraksi di Liga Singapura.

Pasukan dari Singapura itu kini menerajui liga dengan 44 mata selepas 22 perlawanan.

Kelmarin arena bola sepak tanah air digemparkan dengan dakwaan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) bahawa Shokri, 47, dan Thana Segar, 38, bersetuju menerima rasuah RM15,000 setiap seorang bagi mengatur perlawanan LionsXII dengan Sarawak.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda hingga SGD$100,000 (RM246,537) setiap seorang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin SGD$50,000 (RM123,272) sebelum kes disebut semula pada 31 Mei ini.

Mengulas tindakan yang akan diambil, Azzuddin berkata, beliau menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib (DB) dipengerusi Datuk Taufek Abd Razak membuat keputusan.

“Saya sudah terima laporan dari pihak pencegahan rasuah Singapura, berasaskan maklumat itu itu saya akan bawa ke Jawatankuasa Tataertib untuk mengambil tindakan.

“Sama ada beliau (Shokri) akan digantung terpulang kepada DB. “Mengikut kes sebelum ini walaupun mereka yang terbabit dituduh di mahkamah dan belum dibuktikan bersalah tapi kalau ada asas saya percaya DB akan ambil tindakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...