Thursday, May 10, 2012

Bangga komitmen pemain


Harian Metro

“KEMENANGAN ini sesuatu yang amat membanggakan dan saya amat bersyukur kerana pemain berjaya membuktikan kebangkitan dengan persembahan baik walaupun beraksi di gelanggang lawan,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Kata-kata itu diluahkannya selepas Negeri Sembilan bangkit mencatat kemenangan keenam daripada 16 perlawanan membenam Selangor 3-1, dalam saingan Liga Super, di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sekalipun turun tanpa penyerang berbisa, Jean-Emmanuel Effa Owona yang digantung, gandingan penyerang muda, Ahmad Shakir Md Ali dengan Mohd Firdaus Azizul melenyapkan impian skuad Merah Kuning mempertahankan kelebihan mereka.



Bagi Azraai, komitmen dan semangat berpasukan yang tinggi menjadi kunci kemenangan selain keberkesanan taktikal yang diterjemahkan apabila berjaya memerangkap barisan depan anak buah Irfan Bakti, yang diterajui Bosko Balaban dan Amri Yahyah dengan 11 ofsaid.


“Kemenangan kita lebih kepada keberkesanan taktikal yang berjaya diterjemahkan pemain dengan tindakan memerangkap 11 ofsaid. Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang mempamerkan kemantapan.“Walaupun tanpa Effa Owona, barisan depan mampu berfungsi dengan baik, malah hasrat kami apabila beraksi di gelanggang lawan mahu memastikan pulang sekurang-kurangnya satu mata tapi kami berjaya meraih tiga mata penuh,” katanya.



Dalam perlawanan menarik itu, Ahmad Shakir meledak dua gol untuk bersaing kedudukan dengan Effa Owona dengan mengumpul lapan gol setakat ini manakala Firdaus terlebih dulu menjaringkan gol mudah hasil kesilapan pertahanan Selangor. Pengendali berpengalaman itu menyifatkan kejayaan kelmarin sebagai suatu petanda positif selepas prestasi terumbang-ambing hingga menyebabkan kedudukan dalam carta liga terjejas.




“Saya berharap pemain terus memberikan fokus kepada usaha mengekalkan aksi konsisten bagi memastikan misi mengekalkan kemenangan tercapai apabila berdepan Johor FC di gelanggang sendiri, Sabtu ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...