Saturday, May 12, 2012

Bayangan kapten baru


Harian Metro

KEMAMPUAN mengubah sikap rakan sepasukan dalam perlawanan adalah antara kemampuan yang diterapkan kepada kapten baru skuad negara yang bakal bersaing dalam kelayakan Piala Asia B-22 2013 di Myanmar, penghujung bulan depan.

Harapan itu digambarkan pengendalinya, Ong Kim Swee yang sebelum ini mempunyai kapten berpengaruh dan karektor kuat dalam skuadnya seperti Baddrol Bakhtiar (Sukan Sea 2011), Khairul Fahmi Che Mat (kelayakan Sukan Olimpik 2012) dan Mahali Jasuli yang mengetuai Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura musim ini.

“Ia adalah antara sikap yang saya perlukan dalam saingan di sana nanti. Dia (kapten) perlu berkemampuan membimbing pemain lain selain mempunyai disiplin serta dihormati rakan sepasukan,” kata Kim Swee yang sudah membuat keputusan mengenai pemain yang bakal menggalas tugas kapten itu namun masih belum mahu mengumumkannya.


Pengendali berusia 42 itu bagaimanapun tidak mahu membandingkan kemampuan dan kebolehan kapten baru itu dengan bekas kapten yang lain kerana percaya setiap individu mempunyai corak kepimpinan berbeza untuk dihormati rakan sepasukan semasa beraksi atau di luar padang.


Yang pasti menurut Kim Swee, kapten pasukannya kali ini adalah pemain Harimau Muda A yang sudah menjadi pemain utama serta mampu bekerjasama dengan baik dengan semua pemain termasuk dengan mereka yang beraksi bersama pasukan lain selain rakan sepasukan dalam Harimau Muda A.



Antara nama yang dilihat mampu mengetuai skuad negara untuk merebut dua tempat teratas di Yangon dan seterusnya mara ke pusingan akhir pada tahun depan adalah tonggak pertahanan, Mohd Fadhli Shas serta perancang tengah, Mohd Irfan Fazail.


Barisan pelatih skuad bawah 22 tahun negara akan berlepas ke Slovakia dan Hungary pada Khamis depan selama tiga minggu bagi memantapkan lagi persiapan dengan menentang kelab utama di negara terbabit, diikuti persahabatan skuad bawah 22 tahun China (10 Jun) dan Timur Leste (17 Jun). Skuad negara memulakan saingan menentang pasukan pilihan Korea Selatan pada 23 Jun, Filipina (25 Jun), Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan perlawanan terakhir menentang tuan rumah, Myanmar pada 3 Julai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...