Thursday, May 10, 2012

Beira-Mar uji Nazmi


Harian Metro

PORTUGAL bakal menjadi destinasi terbaru buat pemain muda berbakat, Muhamad Nazmi Faiz Mansor mengembangkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional apabila ditawarkan menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga Divisyen Satu (Primeira Liga), S C Beira-Mar.

Nazmi, 17, yang kini beraksi bersama Harimau Muda A dalam Liga Singapura (Liga-S) akan berangkat ke Portugal, Ahad ini dan berpeluang ditawarkan kontrak dengan pasukan di tangga ke-12 liga, Beira-Mar jika berjaya dalam ujian selama seminggu itu.

Dia yang ditemani bapanya, Mansor Mustapha nyata tidak sabar untuk mengharungi cabaran baru itu kerana sedar ia peluang terbaik untuknya beraksi di pentas Eropah.



“Bukan mudah mendapat peluang bermain dengan kelab di Portugal jadi saya bersedia memberikan yang terbaik pada ujian pemilihan itu. “Saya sendiri yang memilih menerima tawaran ini kerana yakin saya mampu pergi lebih jauh.


“Sebelum ini Safee Sali dan Safiq Rahim sudah menjalani ujian di Cardiff City jadi biarlah kali ini saya mencuba di Portugal,” katanya yang ditemui pada sesi latihan skuad bawah 22 tahun negara di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.



Apa yang membanggakan, pemergian Nazmi, pemain berasal dari Kuala Lumpur ke kelab bekas lagenda bola sepak Portugal, Eusebio atas dasar merit apabila bakatnya berjaya dikesan pencari bakat baru dari Portugal yang berpangkalan di Singapura.




Nazmi, pemain tengah yang membantu skuad bawah 22 tahun negara merangkul pingat emas Sukan Sea Indonesia tahun lalu, yakin mampu melepasi ujian itu biarpun dia baru pulih daripada kecederaan kaki dan sebelum ini mempunyai rekod hanya boleh beraksi selama 60 minit akibat kekejangan otot.


“Atas bantuan ISN (Institut Sukan Negara) saya sudah boleh beraksi selama 90 minit. “Saya rasa ia tidak memberi masalah kepada saya sebaliknya hanya perlu fokus kepada prestasi diri sendiri,” katanya.



Dalam pada itu jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee turut menyuarakan keyakinan kejayaan anak didiknya itu akan membuka laluan kepada ramai lagi pemain muda ke luar negara.


“Bagi saya, Nazmi tidak mempunyai masalah dengan permainan di sana kerana dia mempunyai kemahiran dan boleh beraksi di peringkat tinggi. “Dalam tempoh seminggu, pihak kelab akan memaklumkan kepada kami mengenai kedudukannya dan saya percaya jika dia berjaya, dia akan menjadi ‘produk’ terbaik untuk kita membawa ramai lagi pemain ke kelab luar.



“Peluang di Portugal lebih cerah kerana syarat mereka tidak ketat seperti di England yang mengambil kira penampilan pemain bersama skuad kebangsaan dan juga kedudukan ranking,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...