Friday, May 25, 2012

Dua rakyat Malaysia disyaki rasuah ditahan



SINGAPURA - Singapura mendakwa dua rakyat Malaysia atas tuduhan mengatur perlawanan bola sepak Liga Super, semalam.

Laporan agensi berita AP menyebut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataannya memberitahu pengadil, Shokri Nor dan bekas pemain Thana Segar bersetuju menerima rasuah RM15,000 setiap seorang bagi mengatur perlawanan Lions XII menentang Sarawak di Singapura 22 Mac lalu.

Menurut CPIB, Shokri ditahan apabila polis berjaya menghidu tindakan tersebut.


Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua mereka boleh didenda sehingga SGD$100,000 (RM246,537) setiap seorang atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Bernama melaporkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menunggu keputusan perbicaraan pengadil Malaysia, Shokri Nor yang didakwa terlibat dalam kes mengatur perlawanan membabitkan Lions XII menentang Sarawak, Selasa lepas, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, badan induk bola sepak negara itu perlu menghormati undang-undang Singapura sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Shokri.

"Biar undang-undang di Singapura yang membuat keputusan dalam kes membabitkan beliau (Shokri).

"Terpulang kepada mereka (mahkamah Singapura) untuk menentukan hukuman yang bersesuaian.

" Kerana apa yang lebih penting ialah kita perlu menghormati perundangan yang ditetapkan tidak kira di tempat mana," katanya ketika dihubungi semalam.

Media Singapura melaporkan Shokri, 47, bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Thana Segar Sinnaiah, 38, didakwa atas tuduhan terlibat dalam mengatur perlawanan Liga Super.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 19 Mei lepas di sebuah bilik hotel di Pulau Pinang selepas bersetuju menerima suapan RM15,000 setiap seorang.

Mahkamah membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin SGD$50,000 (RM123,272) sebelum kes itu disebut semula pada 31 Mei ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...