Thursday, May 17, 2012

‘Elak duka berulang’


Harian Metro

“DETIK itu masih terbayang di ingatan, namun saya tidak mahu tragedi sama berulang kali ini,” kata pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin, 27, yang tertanduk bola ke gawang sendiri untuk gol penyamaan Terengganu di penghujung perlawanan sebelum skuad Kijang akhirnya tewas 1-2 kepada Terengganu pada masa tambahan perlawanan akhir Piala FA tahun lalu.

Penyokong The Red Warriors pasti masih mengingati kekalahan mengecewakan itu kerana mereka begitu hampir untuk muncul juara dalam tempoh masa sebenar perlawanan, namun nama Mohd Daudsu tetap di hati peminat apabila ramai yang menyebelahinya. Ia dibuktikan menerusi kewujudan laman khas di facebook dengan pelbagai tajuk, antaranya ‘100,000 rakyat Kelantan tak salahkan Daudsu atas kekalahan Kelantan’, ‘Jangan salahkan Daudsu okay’, ‘Maafkan Daudsu’ dan ‘Bukan salah Daudsu’.



Mohd Daudsu pula segera meminta maaf atas kesilapannya itu dan disiarkan di beberapa akhbar utama.

Pemain yang mendapat jolokan ‘kereta kebal Kelantan’ itu berkata, meskipun hampir setahun berlalu, dia belum melupakan tragedi itu tapi pada perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, dia membulat tekad untuk menjadi benteng paling kebal buat The Red Warriors.


Katanya, bagi memastikan peristiwa sama tidak berulang, dia akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu mensia-siakan peluang menjulang Piala FA untuk kali pertama selepas tiga kali layak ke final pada 2009, 2011 dan tahun ini.


“Saya tidak mahu ia berulang dan akan cuba yang terbaik ketika mempertahankan benteng pasukan.

“Ini peluang ketiga Kelantan untuk menjulang satu-satunya piala yang belum diperoleh dan saya harap rakan sepasukan bekerja keras untuk memastikan kami menang,” katanya.


Menurutnya, bukan tugas mudah bagi seorang pemain pertahanan mengekang asakan lawan kerana memerlukan kemahiran dan keupayaan membaca pergerakan lawan. “Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada. Setiap pemain mempunyai kebolehan tersendiri namun kita masih perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan dan saya tidak akan membiarkan lawan melepasi benteng dengan mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...