Wednesday, May 9, 2012

Kijang juara kumpulan


Harian Metro

KELANTAN mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan H dalam saingan Piala AFC apabila menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 1-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Jaringan tunggal pemain import dari Nigeria, Onyekachi Nwoha seawal minit kedua selepas perlawanan separuh masa kedua bersambung memastikan Kelantan mencatatkan kemenangan keempat dalam enam perlawanan untuk mengumpul 13 mata dengan kelab Indonesia, Arema berada di tempat kedua meraih tujuh mata turut mara ke pusingan kedua.

Kelantan seharusnya mencatatkan kemenangan dengan jumlah jaringan yang lebih besar namun palang gol beberapa kali menjadi penghalang kepada anak-anak buah Bojak Hodak walaupun penjaga gol lawan, Thiha Si Thu sudah tertewas.



Malah beberapa peluang terhidang kepada Kelantan juga gagal disempurnakan penjaring terbanyak Red Warriors dalam Piala AFC, Mohammed Ghaddar yang sudah meledak tujuh gol dalam lima perlawanan sebelum ini.


Pelawat yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara ke pusingan kedua cuba sebaik mungkin untuk memecahkan kekebalan benteng Kelantan yang dikawal S Subramaniam dan Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid namun terpaksa akur sehingga wisel penamat sekali gus menyebabkan mereka gagal mara ke pusingan kedua apabila tewas kepada Arema menerusi perbezaan jaringan.



Lawan Kelantan pada pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini adalah naib juara Kumpulan F yang akan ditentukan di antara satu lagi wakil negara, Terengganu yang menentang kelab Hong Kong, Kitchee hari ini dengan kedua-dua pasukan kini dibezakan dengan satu mata.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...