Saturday, May 26, 2012

Lebah perit hadapi Kijang


Harian Metro

PERTEMBUNGAN ibarat langit dan bumi tatkala reputasi Johor FC terus merudum selepas masih kekal di tangga bawahan liga sedangkan Kelantan gah berada di kelompok teratas apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam satu-satunya aksi Liga Super di Stadium Pasir Gudang, malam ini.

Tambah perit buat skuad Lebah apabila kehilangan tonggak utama - Eddy Helmi Manan, Khaironisam Sahabudin, Azi Shahril Azmi, Mohd Zambri Chin dan Khairi Kiman pasti meresahkan pengendali Sazali Saidon yang terpaksa memikirkan strategi ampuh melayani kunjungan Red Warriors.

Pada masa ini kedudukan skuad Lebah berada dalam keadaan nazak apabila hanya mengumpul 15 mata daripada 16 perlawanan manakala Kelantan yang dibimbing Bojan Hodjak dilihat semakin mantap selepas menjuarai Piala FA dan layak ke saingan suku akhir Piala AFC pasti mahu memburu kemenangan dalam usaha merapatkan jurang mata dengan pendahulu liga, Lions XII.


Yang pasti Sazali mula mencongak taktikal lebih berkesan walaupun hakikatnya pemain sedia ada masih ‘cetek’ pengalaman berdepan Kelantan yang dibarisi pemain bertaraf ‘bintang’ yang memiliki corak permainan pantas.

“Memang sukar merencanakan taktik apabila kehilangan ramai tonggak namun dalam bola sepak tidak mustahil untuk buat kejutan.

“Gandingan Izuan Jarudin dan Fernando Augusto menjadi pilihan saya mengemudi benteng pertahanan manakala kelibat Arthur Henrique dipertaruh merobek gawang Kelantan dan bakal bergandingan bersama Harris Safwan. “Kelantan memiliki barisan ampuh, kesebelasan mahupun simpanan yang mampu beraksi mantap dan senario itu menggusarkan saya kerana tiga mata tidak harus terlepas kepada lawan di laman sendiri,” katanya.

Apapun perancangan Sazali, posisi tengah yang diterajui kapten Mohd Khairul Ismail harus bijak merencana strategi dan tidak kekok apabila mengatur serangan.

“Kelantan ampuh di posisi tengah dan semestinya tugas berat buat Mohd Khairul menyekat gerakan lawan manakala kepantasan Mohd Riduan Maon di posisi sayap amat diperlukan memastikan setiap hantaran lintang tepat kepada rakan bagi membuka peluang menghasilkan jaringan.”

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...