Tuesday, May 22, 2012

Misi Rajagobal


Harian Metro

SELAIN memburu kemenangan, tiga aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina dan Singapura bulan depan bakal memberikan gambaran sebenar sejauh mana persiapan skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal untuk mempertahankan Piala AFF hujung tahun ini.

Selepas dilihat mudah mengatasi lawan kerdil pada penghujung bulan lalu apabila membelasah Sri Lanka, 6-0, barisan Harimau Malaya akan bertemu dua lawan setaraf yang turut bersaing merebut piala kebanggaan Asia Tenggara itu bermula dengan Filipina pada 1 Jun diikuti aksi timbal balik menentang Singapura pada 8 Jun (Stadium Jalan Besar) dan 12 Jun di Stadium Shah Alam.


“Tiga perlawanan ini akan memberikan gambaran untuk pemain beraksi di satu tahap yang lebih tinggi. Saya yakin pemain akan beraksi dengan baik namun semua harus faham dengan keutamaan adalah Piala AFF.

“Kita tidak mahu (pasukan) bermain baik sekarang tapi kemudiannya tidak konsisten, tiada manfaat,” kata Rajagobal ketika ditemui pemberita selepas mengendalikan sesi latihan pertama skuad negara di Wisma FAM, petang semalam.

Tambahnya, kemenangan dalam tiga perlawanan itu memang diharapkannya namun perlu melihat keadaan pemain yang hadir (sesi latihan skuad negara) dengan harapan pemain berada dalam situasi yang diperlukan pada setiap posisi tanpa sebarang kecederaan.

“Saya yakin dengan barisan pemain yang selama ini tidak mendapat peluang sebelum ini seperti pemain dari Kelantan, Terengganu dan Kedah akan memberi banyak pilihan dan kesan kepada pasukan. “Sebagai jurulatih saya mahu mereka bermain dengan baik dan fikiran kita adalah untuk menewaskan Filipina. Kalau boleh kita mahu menang tiga perlawanan untuk mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Rajagobal bagaimanapun kemungkinan besar terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Kedah, Mohd Khyril Muhyameen Zambri serta tonggak pertahanan Selangor, Mohd Asraruddin Putra Omar yang mengalami kecederaan selepas melaporkan diri petang semalam.

Manakala sejumlah pemain dari Kelantan dan Terengganu masih belum melaporkan diri kerana terbabit dalam kancah Piala AFC dan Liga Super manakala kapten Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali dijangka bersama skuad negara Sabtu ini kerana masih mempunyai perlawanan dalam Liga Super Indonesia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...