Tuesday, May 22, 2012

Mohd Sabre tekad balas kepercayaan


Harian Metro

SELEPAS disisihkan hampir dua tahun daripada senarai skuad kebangsaan, Mohd Sabre Mat Abu kembali mendapat perhatian ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal.

Pemain pertahanan kanan Kedah itu antara yang melaporkan diri dalam sesi latihan skuad negara petang semalam bagi menghadapi tiga aksi persahabatan menentang Filipina dan Singapura, bulan depan.


Kali terakhir dia bersama skuad negara adalah ketika membantu skuad kendalian Rajagobal itu menjulang Piala AFF 2010.

“Saya seperti tidak percaya mendapat panggilan ini kerana sudah hampir dua tahun tidak dipanggil. Saya juga rasa terharu kerana semua pemain mahu beraksi untuk skuad negara dan saya mendapat peluang ini,” katanya yang mahu memberikan aksi terbaik bagi mengukuhkan kedudukannya dalam skuad negara.

Ditanya punca sebenar tidak dipanggil Rajagobal dalam tempoh yang panjang itu, Sabre berkata, mungkin kecederaan buku lali yang dialaminya hingga mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk sembuh menjadi punca selain prestasi Kedah yang baru kembali di tahap lebih baik ketika ini.

Kehadiran Sabre kali itu turut memberikan pilihan kepada Rajagobal apabila pemain itu mampu beraksi pada pelbagai posisi seperti pemain tengah, sayap serta pertahanan kiri ketika beraksi bersama Kedah dalam kancah Liga Super dan Piala FA.


“Ia mungkin memberi kelebihan kepada saya untuk kekal dalam pasukan. Namun saya perlu memberikan aksi terbaik dan selepas itu terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu juga tidak melihat kehadiran sejumlah besar pemain baru dalam pasukan itu menjadi halangan selain yakin untuk bersaing dengan mereka walaupun sudah lama tidak bersama skuad negara.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...