Monday, May 14, 2012

Nazmi perlu fokus


Harian Metro

PEMAIN muda berbakat, Muhamad Nazmi Faiz Mansor kekal fokus dan tidak mahu terlalu teruja sehingga merosakkan peluang yang diberikan kelab Liga Divisyen Satu (Primeira Liga), SC Beira-Mar di Portugal.


Pemain Harimau Muda A itu sebaliknya mahu menggunakan kesempatan yang diberikan kelab Eropah itu untuk mempamerkan corak permainan dan kebolehan yang dimilikinya bagi memikat hati panel pemilihan untuk mengikat kontrak bersama kelab yang ditubuhkan pada 1922 itu. “Secara mentalnya saya sudah bersedia menghadapi secara halangan yang bakal ditempuh walaupun masih kabur dengan corak dan gaya permainan kelab di negara itu. 



Tiada perasaan gentar namun saya sentiasa mengingatkan diri sendiri supaya tidak terlalu teruja,” kata pemain berusia 18 tahun itu yang berlepas ke Portugal malam tadi bagi menjalani ujian pemilihan selama seminggu. Nazmi Faiz yang ditemani bapanya, Mansor Mustapha, 48, ke Portugal turut tidak melihat saiz badannya yang kecil menjadi halangan yang besar untuk menjadi pemain profesional terutamanya apabila dibandingkan dengan pemain benua lain.

“Saya pernah menimba pengalaman di luar negara (Slovakia) dan beraksi menentang pasukan dari Asia Barat seperti Bahrain dan Syria dalam kelayakan Olimpik 2012. Ia membuktikan kemampuan dan menguatkan semangat saya untuk menyahut cabaran ini.




“Saya turut berharap peminat bola sepak negara dapat mendoakan kejayaan dalam usaha pertama saya mengembangkan karier di pentas yang lebih luas,” jelasnya.

Pemilihan pemain tengah kelahiran Kuala Lumpur itu dilakukan secara merit selepas bakatnya dikesan ejen bola sepak antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.


Nama Nazmi Faiz mula menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan selepas membantu skuad bawah 23 tahun negara kendalian Ong Kim Swee mempertahankan pingat emas Sukan Sea 2011 walaupun ketika hanya berusia 17 tahun dan persembahan cemerlangnya berterusan apabila membantu Harimau Muda A menjadi pencabar utama merebut kejuaraan Liga Singapura ketika ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...