Wednesday, May 9, 2012

OKS: Kami tak terlibat atur perlawanan


Sumber: ESPNStar.my

Jurulatih Harimau Muda Ong Kim Swee berkata pasukannya tidak terlibat dalam skandal atur perlawanan terkini yang melanda Liga Singapura.

Dua bekas pemain Liga Singapura disabitkan rasuah Jumaat lalu. Pemain berasal dari Korea Selatan Kim Jae-hong, 27 tahun, dan Jeon Byung-euk, 24 tahun, didapati bersalah kerana menawarkan rasuah kepada dua pemain Geylang United untuk sengaja kalah perlawanan Khamis lalu menentang Harimau Muda, di mana pasukan dari Malaysia itu menang 2-0.


Kim Swee menafikan penglibatan pasukannya dalam kejadian itu dan telah memberi amaran kepada pemainnya supaya berhati-hati dengan pengaturan perlawanan.

"Kami tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kejadian itu. Saya dimaklumkan bahawa beberapa individu tertentu cuba untuk merasuah pemain Geylang tetapi FA Singapura (FAS) bertindak dengan pantas untuk menangkap pesalah-pesalah selepas pemain melaporkan kejadian itu," kata Kim Swee semalam.

"Ia amat menyedihkan ada orang yang masih cuba untuk mengatur perlawanan. Saya telah memberitahu pemain-pemain saya agar berhati-hati dan saya boleh memberi jaminan kepada semua orang bahawa kami tidak terlibat. "

Akhbar TODAY online melaporkan bahawa bekas pemain Geylang Jae-hong mengakui memberi rasuah sebanyak S$4,000 kepada penjaga gawang Geylang Mohamed Yazid Yasin, 32 tahun, untuk sengaja kalah perlawanan itu.

Jae-hong juga mengaku berkomplot dengan Byung-euk untuk menawarkan rasuah kepada satu lagi pemain Geylang, Mun Seung Man, di antara jumlah S$3,000-S$4,000 untuk tidak menjaringkan gol menentang Harimau Muda.

Jae-hong telah dihukum penjara lima bulan atas dua tuduhan. Byung-euk, yang menghadapi satu tuduhan, dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan. Mereka boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum S$100,000.

Kim Swee menambah pasukannya sentiasa bekerja keras untuk mendapatkan kemenangan dan yang sama berlaku dalam kemenangan 2-0 atas Geylang, di mana Wan Zack Haikal Wan Noor dan D. Saarvindran menjaringkan gol-gol mereka.

 "Kami bekerja keras untuk mendapat kemenangan itu. Tidak ada sebarang perbuatan khianat," kata Kim Swee.

Harimau, yang kini berada di tempat kedua dalam liga, akan menentang Tampines Rovers FC dalam perlawanan seterusnya di Stadium Yishun pada hari Ahad.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...