Wednesday, May 30, 2012

Pengalaman Irfan teraju cabaran


Harian Metro

PENGALAMAN pemain tengah, Mohd Irfan Fazail bakal menjadi sandaran jurulatih Ong Kim Swee untuk menggalas tugas sebagai kapten skuad Bawah 22 Tahun negara di kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 di Myanmar, Jun depan.

Irfan yang membantu skuad negara mempertahankan pingat emas Sukan Sea Indonesia tahun lalu akan memakai lilitan lengan berikutan ketiadaan kapten Harimau Muda A, Mahali Jasuli dan Mohd Affize Faisal Mamat yang masing-masing sudah berusia 23 tahun.


“Keputusan ini satu penghormatan bagi saya. Saya tidak mempunyai masalah untuk memimpin rakan lain di padang.

“Tidak kira menjadi kapten atau tidak, semua pemain perlu memberikan komitmen tinggi,” katanya.

Selain Irfan, 21, Kim Swee turut mempunyai pilihan pemain untuk mengetuai pasukannya iaitu Mohd Fandi Othman dan pertahanan Mohd Fadhli Shas.

Namun Fadhli akan terlepas perlawanan pertama Kumpulan G menentang Korea Selatan, 23 Jun ini kerana penggantungan satu perlawanan.


Irfan antara pemain senior yang masih berada dalam skuad ini turut pernah beraksi secara pinjaman bersama kelab Liga Satu Slovakia, Vion Zlate Moravce selama tiga bulan pada September tahun lalu bersama Fadhli dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Dalam dua perlawanan persahabatan ketika tewas 0-5 kepada kelab Ferencvaros TC dan seri 2-2 dengan pasukan pilihan Brazil, pemain kelahiran Pontian, Johor itu dilihat tenang mengetuai pasukan yang dibarisi beberapa pemain baru.

Namun menjelang perlawanan terakhir menentang satu lagi kelab gergasi Hungary, Honved Budapest, hari ini, Irfan mengingatkan rakan sepasukan supaya lebih waspada.

“Kami pernah kalah kepada kelab ini dalam perlawanan persahabatan tahun lalu, mereka pasukan yang kuat. Saya harap kami boleh kekalkan corak permainan sedia ada untuk mencipta jaringan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...