Friday, May 18, 2012

‘Saya bukan budak’


SOKONG...Annuar membeli tiket sendiri untuk menonton perlawanan akhir Piala FA.

“SAYA rasa Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak tidak sepatutnya mengeluarkan ancaman kepada saya melalui media.

“Jika beliau nak beri amaran, tulis surat saja kepada saya,” kata Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, semalam.



Annuar berkata, sepatutnya Taufik terlebih dulu mendapatkan penjelasan daripadanya sebelum mengancam mahu mengambil tindakan ke atasnya dengan dakwaan beliau masih terbabit dalam aktiviti bola sepak.

“Saya bukan budak yang boleh dibuli. Sepatutnya beliau (Taufik) tulis surat pada saya minta penjelasan dan bukan mengancam mahu ambil tindakan tanpa mendengar versi saya.


“Macamlah saya tidak tahu peraturan dan undang-undang. Ini membabitkan kredibiliti saya sebagai seorang yang masih lagi pegawai FAM yang hanya digantung daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak dan bukannya jawatan disandang,” katanya di Kota Bharu, semalam.


Semalam, akhbar melaporkan kenyataan Taufik yang berkata tindakan boleh diambil terhadap Annuar jika Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu gagal patuh kepada tindakan disiplin yang dikenakan terhadapnya.


“Jika Annuar terus ingkar, Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh mengemukakan cadangan kepada Exco FAM untuk mengambil tindakan selanjutnya untuk memecat beliau daripada barisan exco FAM,” kata Taufik selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM di Kelana Jaya, kelmarin.


Taufik berkata, antara dakwaan yang diterima, Annuar hadir merasmikan penjualan tiket bagi perlawanan akhir Piala FA dan pelancaran CD Dikir Warriors di Kafe The Red Warriors, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu.

Annuar berkata, kehadirannya merasmikan penjualan tiket Piala FA dan pelancaran CD Dikir Warriors bukan atas kapasiti sebagai Presiden Kafa tetapi bersifat peribadi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...