Wednesday, May 9, 2012

Selangor aib di laman sendiri


Harian Metro

SELANGOR gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila tumpas 1-3 di tangan Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kekalahan itu pastinya memberikan tamparan hebat buat anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang berusaha untuk mengejar kedudukan teratas liga apabila kekal di tangga keempat dengan 24 mata.


Sokongan padu penyokong Gergasi Merah nyata tidak melemahkan Negeri Sembilan mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi gol tandukan penyerang Mohd Firdaus Azizul seawal minit kedua.


Ketika Selangor cuba untuk bangkit memburu gol penyamaan, strategi jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah nyata lebih menjadi apabila menambah jaringan menerusi rembatan deras jarak dekat penyerang kebangsaan, Ahmad Shakir Ali selepas penjaga gol, G Jeevananthan gagal menyelamatkan tandukan Marian Farbak pada minit ke-35.


Separuh masa kedua pasukan tuan rumah terus derita apabila Shakir sekali lagi mencuri tumpuan dengan mengubah kedudukan 3-0 hasil rembatan leret dari luar kotak penalti di minit ke-63.



Selangor yang tidak berputus asa berjaya juga memperoleh gol sagu hati menerusi sepakan penyerang import Bosko Balaban yang bijak menyempurnakan hantaran jauh, Safiq Rahim pada masa tambahan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...