Friday, May 11, 2012

Sime Darby janji bawa 20,000 penyokong



KUALA LUMPUR - Walaupun sebelum ini ada suara-suara sinis menyatakan bilangan penonton di stadium pada perlawanan akhir Piala FA 2012 akan dikuasai sepenuhnya penyokong Kelantan berbanding Sime Darby, jangan terlalu cepat membuat tanggapan sedemikian.

Ini kerana pihak pengurusan Sime Darby telah membuat pengesahan sekurang-kurangnya 11,000 penyokong mereka akan hadir dan bilangan itu dijangka bertambah.

Menurut penolong pengurus Sime Darby, Faizal Amat, sebahagian besar daripada penyokong mereka nanti terdiri daripada pekerja syarikat itu sendiri dari seluruh pelosok negara.


"Kami sudah menerima tempahan 11,000 tiket daripada pekerja dan tiket selebihnya akan dijual di Wisma Sime Darby.

"Dijangka pada perlawanan nanti, seramai 15,000 ke 20,000 penyokong Sime Darby akan hadir memberikan sokongan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Sebanyak 90 peratus daripada penyokong Sime Darby adalah terdiri daripada staf kami sendiri dan kami tiada masalah untuk menjual tiket yang diperuntukkan, "katanya ketika ditemui selepas sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA 2012.

Malahan, Zainal berkata, daripada jumlah 30,000 tiket yang diperuntukkan, pihaknya terbuka jika ada penyokong Kelantan yang datang membeli tiket di tempat kami.

"Tiada masalah kalau ada penyokong Kelantan datang membeli tiket di Wisma Sime Darby, cuma kami akan ambil sebahagian peruntukkan daripada tiket itu kepada para pekerja kami, " katanya.

Sime Darby mencipta sejarah selaku pasukan kelab pertama mara ke perlawanan akhir Piala FA sejak penganjuran kejohanan itu pada tahun 1990 selepas menyingkirkan juara bertahan, Terengganu di separuh akhir.

Zainal mengakui amat teruja dan rasa bertuah dengan kejayaan Sime Darby dan turut memasang impian agar pasukannya bukan sahaja menjadi kelab pertama menjuarai Piala FA tetapi menjadi pasukan pertama menjulang trofi Piala FA yang baru.

"Kejayaan ini memang tidak dijangka dan semua pihak di Sime Darby rasa amat bersyukur.

"Jika kami mampu memenangi Piala FA, kami telah bersedia menyahut cabaran ke Piala AFC musim depan, " katanya.
Sime Darby tidak mahu kalah sorak final Piala FA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...