Monday, May 14, 2012

Skuad Penyu masih lesu


Harian Metro

KETIKA T-Team meraih tiga mata menundukkan Kuala Lumpur 2-1 malam kelmarin, kem Terengganu pula mengalami nasib berbeza dan kembali suram selepas tersungkur kepada Felda United 1-2 di laman lawan.

Ketiadaan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang digugurkan gara-gara desakan peminat walaupun tempoh rehat belum berakhir dan digantikan jurulatih sementara, Khalid Mohd Dahan, tampaknya belum ada tanda kebangkitan sebaliknya kekalahan itu jelas memperlihatkan pertukaran jurulatih bukan jaminan buat Terengganu mengembalikan reputasinya sebagai gergasi Pantai Timur.

Hal ini terbukti corak permainan longlai terutama pada babak kedua perlawanan disajikan anak buah Khalid ketika pertemuan dengan Felda United biarpun mendahului lawan, menunjukkan kemelut dalaman yang membabitkan jurulatih skuad itu sedikit sebanyak mengganggu persembahan pemainnya yang pulang tanpa sebarang mata.



Bagaimanapun, Khalid menepis dakwaan itu menjadi punca anak buah tewas sebaliknya jurulatih sementara itu menyatakan faktor keletihan menjadi penyebab skuadnya gagal mempamerkan aksi bertenaga.


“Saya tidak nampak masalah itu menjejaskan rentak pasukan sebaliknya pemain begitu penat selepas mengharungi perlawanan terakhir Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bertemu Kitchee FC dari Hong Kong Rabu lalu,” katanya yang turut menyifatkan strateginya pada babak kedua tidak menjadi.



Selain itu, Khalid yang bakal menduduki semula kerusinya sebagai penolong jurulatih mulai minggu ini turut menyatakan aksi longgar dan terlalu banyak memberi ruang kepada lawan juga menyebabkan pasukannya gagal meraih mata penuh untuk memperbaiki kedudukan liga.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...