Monday, May 21, 2012

Skuad The Red Warriors dapat RM500,000


Annuar Musa (kiri) dan ketua pasukan, Mohd. Badri Mohd. Radzi serta skuad bola sepak Kelantan disambut lebih 2,000 penyokong setibanya mereka di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam. - UTUSAN/ Rosni Masri


KOTA BHARU - Skuad Kelantan akan menerima ganjaran berjumlah RM500,000 atas kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA buat kali pertama selepas menumbangkan Sime Darby FC 1-0 pada aksi akhir di Stadium Bukit Jalil, kelmarin.

Ganjaran tersebut diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dekat sini, semalam.

Annuar berkata, ganjaran setengah juta itu akan diagihkan dalam dua bentuk kepada pemain iaitu wang tunai dan pakej pelancongan.


Menurutnya, RM300,000 akan diagihkan secara tunai kepada barisan pemain sebagai penghargaan menjulang kejuaraan tersebut.

"Selebihnya kita akan berikan dalam pakej perlancongan bagi membolehkan pemain beristirehat," katanya.

Kepulangan Annuar dan The Red Warriors disambut lebih 2,000 penyokong setia yang berhimpun di LTSIP sejak pukul 3.30 petang.

Annuar memberitahu, keputusan untuk memberikan ganjaran tersebut diputuskan oleh pengurusan KAFA selepas berbincang dan mendapatkan pandangannya.

"Walaupun saya tidak menjalankan tugas sebagai presiden, tetapi mereka tetap merujuk saya dan pengurusan KAFA bersetuju untuk memberikan bonus kepada pemain atas kejayaan menjulang Piala FA," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Annuar memberitahu, kejayaan menjulang Piala FA adalah hasil kerja keras semua pemain, jurulatih serta sokongan padu penyokong setia.

"Kejayaan ini menguatkan lagi semangat The Red Warriors untuk menjulang kejuaraan selepas ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...