Monday, May 14, 2012

Sukar tanpa penyokong di sisi



Alberts akui sukar buat Sarawak beraksi dalam stadium kosong biarpun menang

KUCHING: Sarawak berjaya menebus kekalahan pusingan pertama di Likas apabila menang tipis 1-0 ke atas Sabah dalam aksi Liga Perdana 2012 di Stadium Negeri, malam Sabtu lalu.

Beraksi tanpa penyokong dan peminat setia sama sekali tidak melunturkan semangat Sarawak untuk melakar kemenangan sekali gus meraih tiga mata penuh.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts meskipun gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya tetap terkilan kerana kemenangan tidak dapat ‘dikongsi’ bersama dengan para penyokong gara-gara terpaksa bermain dalam stadium kosong.


“Saya gembira dengan kemenangan yang kita kecapi malam ini (Sabtu) namun agak sukar untuk bermain tanpa peminat,” katanya dengan raut wajah yang tidak ceria.

Alberts mengakui ia adalah seperti ‘mimpi ngeri’ ketika menyaksikan anak-anak buahnya terpaksa berjuang tanpa kehadiran para peminat setia bola sepak tempatan.

Apapun, beliau merakamkan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh kira-kira 2,000 penyokong Sarawak yang tetap bertandang ke Stadium Negeri biarpun hanya menyaksikan perlawanan menerusi paparan skrin gergasi yang disediakan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

“Saya amat berterima kasih kepada semua penyokong setia yang telah sanggup datang beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan di luar stadium,” katanya.

Sementara itu, Presiden FAS, Datu Sudarsono Osman turut merakamkan rasa penghargaan beliau di atas kehadiran penonton yang menyaksikan perlawanan itu melalui skrin besar yang disediakan di luar stadium.

“Saya amat kagum dengan sokongan padu para peminat dan penyokong setia kita yang telah menyemarakkan semangat pemain untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Malah, Sudarsono juga berterima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu.

Beliau yakin kemenangan tipis 1-0 ke atas jiran tetangga, Sabah itu sebagai pembakar semangat lebih tinggi untuk pasukan Ngap Sayot berhadapan dengan Terengganu di laman lawan pada malam esok (Selasa).

“Saya percaya pemain-pemain mampu mengekalkan prestasi cemerlang apabila bertandang ke Terengganu Selasa ini,” katanya sambil memberitahu Sarawak juga akan berhadapan dengan Lions XII, di gelanggang lawan pada Selasa depan (22 Mei).

Dalam perlawanan terbabit, Sarawak yang membariskan kesebelasan utama terbaik ternyata menjadi ‘duri dalam daging’ buat Sabah apabila mereka menguasai perlawanan sebaik wisel pertama dibunyikan.

Sarawak memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi sentuhan berbisa pemain import, Joel Epalle setelah menerima bola hasil sepakan sudut, Ashri Chuchu.

Perlawanan itu disaksikan kira-kira 2,000 penyokong yang berkumpul di luar Stadium Negeri melalui skrin besar yang dipasang oleh pihak pengurusan FAS.
Skrin besar itu disediakan di tempat letak kereta stadium dalam usaha menyatakan sokongan padu penyokong kepada pasukan Sarawak untuk memburu kemenangan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...