Saturday, May 19, 2012

Tekad Ronaldinho


Harian Metro

PENYERANG berbisa Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh sedia menjadikan Kelantan mangsa mereka pada final Piala FA, hari ini selepas menyedari sasaran utama untuk layak ke Liga Super musim depan semakin sukar.

Pemain import dari Liberia itu berkata, Piala FA menyediakan pentas terbaik Sime Darby meraih kejayaan biarpun bakal berdepan cabaran cukup sukar berdepan pasukan Liga Super, Kelantan yang tidak rela tumpas di final buat kali ketiga.



“Kekalahan dua perlawanan terakhir Liga Perdana (di tangan Pahang dan ATM) menyebabkan peluang beraksi di Liga Super makin tipis.

“Namun jika menjadi juara Piala FA, kami yakin ia mampu mengubati kekecewaan dua kekalahan itu dan saya berazam menjadikan Kelantan sebagai mangsa kebangkitan Sime Darby,” katanya yang cukup terkenal dengan larian pantas dan rembatan deras.


Sime Darby yang dibimbing jurulatih Ismail Zakaria kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana dengan mengumpul 30 mata, lapan mata di belakang pendahulu ATM dan Pahang.


Namun mereka tidak seharusnya berduka di saat ini kerana peluang muncul kelab pertama menjulang Piala FA sejak diperkenalkan pada 1990 masih terbuka.

Biarpun penyandang juara Liga Super, Kelantan mampu menyekat impian menggunung itu, Ronaldinho, 20, yang meledak enam gol dalam kempen Piala FA musim ini termasuk gol kemenangan menewaskan juara bertahan Terengganu, 2-1 di separuh akhir yakin mereka mampu meneruskan gelaran selaku ‘pembunuh gergasi’.


“Saya tidak kisah menentang pasukan terbaik di Malaysia kerana yang lebih penting, saya mahu bantu Sime Darby menjulang trofi Piala FA pada musim ini,” katanya yang kini menjadi tonggak utama skuad kebangsaan Liberia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...