Thursday, May 24, 2012

‘Tiada jalan mudah’


Harian Metro

TIADA jalan mudah buat pemain muda berbakat negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor untuk merebut tempat dalam skuad utama SC Beira-Mar biarpun dia dianggap permata baru kelab Liga Divisyen Satu Portugal itu.

Menurut ejen pencari bakat, Marco Guimaraes yang bertanggungjawab membantu Nazmi mendapatkan kontrak tiga tahun dengan Beira-Mar, pemain muda negara itu akan beraksi bersama pasukan remaja terlebih dulu.

“Nazmi akan berlatih bersama pasukan utama namun perlawanan pertamanya dengan pasukan remaja untuk membolehkannya menyesuaikan diri dengan corak permainan di sana.


“Mungkin dia memerlukan sedikit masa kerana bukan mudah untuk beraksi di Portugal kerana permainan lebih fizikal.

“Tapi saya yakin Nazmi boleh melakukannya kerana dia pemain muda yang berkebolehan beraksi di Eropah. “Saya ibaratkan dia seperti Pablo Aimar, pemain Benfica yang bertubuh kecil namun bila bola berada di kaki mampu melakukan sesuatu yang hebat.

“Bagi saya dia akan menjadi pemain terbaik Asia selepas ini kerana untuk mendapat kontrak selepas tiga hari (ujian percubaan) adalah sesuatu yang jarang berlaku,” katanya yang ditemui bersama Nazmi sebaik tiba di Budapest, Hungary kelmarin.

Guimaraes yang mengesan bakat Nazmi selepas menyaksikan salah satu perlawanan Harimau Muda A dalam Liga Singapura sebelum ini turut menjelaskan kenapa beliau memilih untuk membawa Nazmi ke Beira-Mar dan bukannya kelab gergasi Portugal, Sporting Lisbon.

“Memang idea asalnya untuk membawa Nazmi menjalani ujian pemilihan dengan kelab Sporting Lisbon tapi anda boleh lihat kelab itu terkenal dengan pemain hebat sebelum ini seperti Cristiano Ronaldo, Luis Figo dan Nani. Mereka mempunyai ramai pemain berbakat dan kenapa harus hantar Nazmi ke sana, ia hanya membuang masa jika dia tidak akan mendapat peluang bermain,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah gaji yang diterima Nazmi.


Ketika ditanya adakah ada lagi pemain yang akan mengikut jejak Nazmi selepas ini, Guimaraes mengaku sedang mengikuti perkembangan dua pemain Harimau Muda A.

“Ada dua pemain lagi dan sudah ada kelab Portugal berminat dengan salah seorang pemain itu, namun saya enggan mendedahkan nama pemain dan kelab itu hingga perkara ini dimuktamadkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...