Wednesday, May 30, 2012

Ujian getir


Harian Metro

KELAB gergasi Hungary, Honved Budapest bakal memberikan ujian getir buat skuad Bawah 22 Tahun negara bagi perlawanan persahabatan terakhir di Budapest, hari ini jam 4 petang (10 malam waktu Malaysia).

Meskipun sudah dapat membayangkan kekuatan dimiliki skuad juara liga 13 kali kendalian Attila Supka itu, jurulatih negara Ong Kim Swee tidak gentar merombak kesebelasan utamanya untuk menguji pemain.

“Kami tewas kepada pasukan ini 1-4 pada perlawanan persahabatan tahun lalu, ketika itu saya mempunyai pemain seperti Apek (Khairul Fahmi Che Mat), Muslim Ahmad dan Fadhli Shas.


“Honved Budapest mempunyai kekuatan seperti Ferencvaros yang mempunyai kelebihan fizikal pemain dan kepantasan.

“Tapi saya tidak takut menerima apa saja keputusan perlawanan nanti kerana lebih penting, pemain diuji dalam perlawanan kompetitif,” katanya.

Dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad negara yang dalam persediaan menghadapi kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 di Myanmar, Jun ini tewas 0-5 di tangan juara liga Hungary 28 kali, Ferencvaros TC sebelum seri 2-2 dengan pasukan pilihan Brazil.


Antara pemain baru diuji Kim Swee dalam perlawanan itu termasuk pemain berusia 16 tahun Muhammad Ariff Farhan Md Isa, Rozaimi Abd Rahman, Ashri Chuchu, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (tengah), Mohamad Raphi Azizan, Mohd Aminuddin Mohd Noor, Mohd Syazwan Tajudin (pertahanan).

“Saya mungkin membuat beberapa pertukaran, mungkin juga di bahagian serangan pula. Saya sudah menguji Ahmad Hazwan Bakri dan mungkin memberi peluang kepada Syahrul Azwari Ibrahim dan A Thamil Arasu,” katanya.

Selepas perlawanan dengan Honved Budapest, skuad negara akan ke Vion, Slovakia bagi satu lagi aksi persahabatan menentang FK Slovan Duslo Sala pada 6 Jun sebelum menentang skuad B-22 China di Guanyang dan pulang ke tanah air bagi menghadapi skuad B-22 Timor Leste pada 17 Jun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...