Friday, June 1, 2012

Aksi mantap


Harian Metro

BUKAN mengejutkan apabila sebahagian 200 penyokong kelab Hungary, Honved Budapest bersorak melihat aksi pemain skuad Bawah 22 Tahun negara, kelmarin.

Mereka nyata terhibur apabila pemain muda negara memberikan tentangan sengit kepada barisan utama Honved hingga berjaya meraih keputusan seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bozsik, Budapest.

Malah ada di antara mereka menunjukkan isyarat bagus kepada pegawai skuad negara yang duduk di bangku penonton sejurus tamat perlawanan.


Turut sama memberi pujian kepada anak buah Ong Kim Swee adalah pemain import dari Croatia, Boris Bjelkanovic yang beraksi buat kali kedua menentang skuad negara selepas menang 4-1 pada perlawanan persahabatan tahun lalu.

“Kami sudah jangkakan perlawanan berkualiti. Kami mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol, begitu juga dengan Malaysia. Mereka bermain dengan pantas.

“Saya masih ingat ketika menentang pasukan ini pada musim panas lalu, kami menang 4-1. Saya fikir Malaysia semakin meningkat dan tidak mengejutkan apabila mereka memberi tentangan kepada kami hari ini (kelmarin),” katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Perlawanan menentang Honved, skuad kendalian Attila Supka yang menamatkan kempen liga di tangga keempat musim ini adalah aksi terakhir dalam jelajah skuad B-22 di Budapest yang kembali ke Vion, Slovakia, semalam.

Sebelum itu, mereka tewas 0-5 kepada Ferencvaros TC dan seri 2-2 menentang pasukan pilihan Brazil.

Bjelkanovic, 27, yang mempunyai pengalaman bermain di Croatia dan Slovenia berpendapat beberapa pemain muda negara boleh beraksi di luar negara jika terus diberikan pendedahan.

“Jika pemain muda anda diberikan pendedahan, mereka boleh bermain di peringkat lebih tinggi, ini berdasarkan pengalaman saya bermain di Eropah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...