Saturday, June 2, 2012

Filipina ikat Harimau Malaya


Norshahrul Idlan Talaha (kanan) mengelecek bola dan cuba dihalang pertahanan Filipina, Robert James Gier pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam tadi. - utusan/Hafiz Johari


SHAH ALAM - Malaysia mengatur serangan bertali arus, namun penyudah tumpul memaksa skuad Harimau Malaya menutup aksi persahabatan dengan mengecewakan apabila sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Malah, skuad Azkals membuktikan mereka kini bukan lagi pasukan belasahan apabila berjaya memberi tentangan sengit kepada anak-anak buah Datuk K. Rajagobal dengan mengikat juara Piala AFF Suzuki itu buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan.

Malaysia sebelum ini turut diikat 1-1 dalam perlawanan persahabatan pertama di tempat lawan pada 29 Februari lalu. Dan, meskipun mendapat sokongan 10,000 sendiri di Shah Alam, mereka tetap buntu untuk menembusi gawang lawan dalam perlawanan yang berlangsung dengan laju.


Biarpun penamat yang diraih tidak seperti diharap, Rajagobal tetap memuji persembahan anak-anak buahnya yang dianggap memuaskan, terutama beberapa muka baru yang diberi peluang untuk membuat penampilan sulung.

"Keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan kita. Berbanding Filipina, Malaysia lebih banyak mencipta peluang dan mengatur serangan, sedangkan lawan bergantung kepada hantaran bola tinggi kerana kelebihan fizikal yang dimiliki pemain mereka, selain sekali sekala melakukan sepakan percuma.

"Perlawanan malam ini benar-benar berkualiti tinggi. Kedua-dua pasukan menunjukkan tempo yang laju, malah ia adalah pertarungan fizikal. Ini adalah persiapan yang baik menjelang pertemuan dengan Singapura (di Stadium Jalan Besar, 8 Jun),'' ujar Rajagobal.

Filipina yang muncul pasukan ketiga terbaik pada Piala Cabaran AFC 2012 baru-baru ini, bukan lagi pasukan lemah.

Kehadiran sekumpulan barisan pemain berpengkalan di Eropah yang mempunyai pertalian darah Filipina telah menukar corak permainan mereka.

Skuad yang dikumpul Rajagobal untuk aksi persahabatan kali ini dilihat terbaik dan merupakan bayangan yang bakal menggalas misi negara pada Piala AFF nanti. Hampir sebahagian besar pemainnya adalah anggota yang mencapai kejuaraan pada 2010.

Tanpa perlu mengambil kira tahap persembahan Filipina, Malaysia patut menilai mutu permainan sendiri.

Corak permainan yang dipamer pada separuh masa pertama agak hambar dengan barisan pertahanan gugup, jentera tengah yang dikemudi Safiq Rahim dan K.Gurusamy kurang efisien dan tidak kreatif.

Malah, pasangan penyerang, Mohd. Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha yang digandingkan buat kali pertama sejak perlawanan menentang Australia, agak tumpul mendapatkan penyudah.

Seawal minit pertama, Harimau Malaya hampir dihukum apabila bek kiri, Mohd. Azmi Muslim nyaris menghadiahkan gol awal buat pelawat berikutan kelalaiannya membuat hantaran belakang kurang kemas kepada penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias yang mujur sempat menampan bola itu sebelum disambar penyerang lawan.

Filipina sebaliknya, dilihat mempunyai lebih inisiatif dalam melakukan serangan cuma mereka kurang berkesan apabila menjangkaui suku ketiga padang kita.

Meskipun bangkit dengan aksi lebih bertenaga pada babak kedua, Malaysia tidak berupaya menjelmakan peluang yang dicipta kepada jaringan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...