Wednesday, June 13, 2012

Harimau Malaya tunai janji


Ahmad Shakir Ali (tengah) melakukan percubaan ke arah gawang Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari


SHAH ALAM - Harimau Malaya mengotakan janji apabila melakar kemenangan pertama selepas lapan tahun ke atas musuh tradisi, Singapura 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam semalam.

Di hadapan 25,000 penonton, jaringan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Ali pada minit ke-18 dan Safiq Rahim pada minit ke-62 meleburkan badi sejak 2004, di mana Malaysia gagal mengalahkan Singapura dalam 10 perlawanan terakhir.


Kali terakhir Malaysia menumpaskan Singapura ialah pada perlawanan persahabatan di Stadium Cheras juga dengan jaringan 2-0 ketika skuad negara dibimbing Allan Harris.

Kemenangan semalam turut menebus kehampaan Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan pertama 8 Jun lalu di Stadium Jalan Besar, Singapura yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2.

Pada perlawanan tersebut, skuad negara mendahului 2-0 namun Singapura bangkit pada lima minit terakhir dalam perlawanan yang turut mencetuskan kontroversi.

Namun kemenangan semalam tidak boleh terlalu dibanggakan oleh skuad Datuk K. Rajagobal kerana Singapura turun tanpa lapan pemain utama kerana menyertai kem kerahan tenaga negara iu, juga faktor kecederaan.

Rajagobal membuat keputusan tidak menurunkan Safee Sali pada bahagian serangan, sebaliknya memberikan peluang kepada Ahmad Shakir Ali, yang bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan.

Azamuddin Mohd. Akil turut meraih tempat dalam kesebelasan utama.

Selain itu, Rajagobal juga membuat percaturan menarik meletakkan Mohd. Fadhli Shas beraksi pada bek kiri dan memberikan kepercayaan kepada Amiridzwan Taj Tajudin mengemudi barisan tengah pertahanan bersama rakan sepasukan di Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Aidil Zafuan.

Percaturan Rajagobal meletakkan Shakir bersama Norshahrul atau Mat Yo jelas membuahkan hasil apabila berjaya menggegar gawang Singapura seawal minit ke-18.

Melalui hantaran silang dari sebelah kiri Mat Yo, Shakir dapat menyambut hantaran penyerang Kelantan itu sebelum melakukan tandukan, yang menggembirakan seluruh penyokong Harimau Malaya di Shah Alam.

Skuad negara melebarkan kedudukan pada minit ke-62 hasil sepakan percuma menarik Safiq dari jarak 25 meter yang gagal dijangkau penjaga gol Singapura, Mohamed Hyrulnizam Juma'at.

Safee akhirnya dibawa masuk pada minit ke-64 menggantikan Shakir, namun dia tidak banyak memberikan kesan terhadap jentera serangan untuk mengancam kubu Singapura yang dikawal Baihakki Khaizan.

Malang menimpa Singapura apabila Mustafic Fahrudin dilayangkan kad merah pada minit ke-67 kerana melakukan terjahan keras ke atas Mat Yo.

Ini menyebabkan jurulatih Singapura, Radojko Avramovic berang kerana tidak berpuas hati dengan keputusan yang dilakukan oleh jurulatih Thailand, Teetichai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...