Tuesday, June 19, 2012

Kelayakan Piala AFC: Kim Swee tidak mahu beri harapan tinggi



KUALA LUMPUR - Mungkin selepas Korea Selatan, ramai peminat percaya skuad Bawah 22 tahun negara yang akan menyertai kelayakan Piala AFC di Myanmar pada 23 Jun hingga 3 Julai ini dilihat mampu mengisi slot kedua dalam Kumpulan G.

Namun tidak bagi jurulatihnya, Ong Kim Swee yang awal-awal lagi tidak mahu memberikan harapan tinggi, biarpun mempamerkan rentak positif selepas menewaskan skuad Bawah 22 Qatar, 2-0 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

"Saya tidak mahu menaburkan janji bahawa kita mampu layak ke pusingan akhir mengiringi pasukan pilihan, Korea Selatan.


"Bukan kerana saya tidak percaya dengan kemampuan pemain tetapi bimbang mereka akan dibuai perasaan terlalu yakin.

"Sedangkan saingan dalam kumpulan ini dilihat agak terbuka, apa-apa boleh berlaku biarpun saya memang mahukan kita mampu mengisi salah satu daripada dua pasukan teratas.

"Saya mahu memikirkan pertemuan sulung dengan Korea Selatan terlebih dahulu pada 23 Jun ini, " katanya ketika dihubungi.

Selain Korea Selatan, Malaysia diundi bersama Filipina (25 Jun), Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan tuan rumah, Myanmar (3 Julai) dalam Kumpulan G.

Hanya dua pasukan teratas layak ke pusingan akhir dan satu slot diberikan kepada pasukan ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan.

Menyentuh kekuatan pencabar yang lain, Kim Swee awal-awal lagi merasakan Korea Selatan hampir pasti mampu mengisi salah satu slot yang ditawarkan.

"Korea dalam apa jua perlawanan kelayakan AFC tidak kira peringkat umur, mereka pasti mampu melayakkan diri, itu satu hakikat yang kita perlu tahu," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...