Monday, June 25, 2012

Misi tiga mata


Harian Metro

BERMULA dengan pertemuan menentang Filipina petang ini, skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22) tidak mempunyai pilihan selain meraih kemenangan pada baki saingan Kumpulan G kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 B-22, di Yangon, Myanmar.

Selepas tersilap langkah ketika aksi pembukaan apabila tewas 2-3 kepada Korea Selatan, kelmarin, jurulatih Ong Kim Swee mengaku anak buahnya perlu mengutip mata maksimum dan tidak boleh bergantung kepada pasukan lain.

“Kami perlu menewaskan Filipina untuk mengutip tiga mata kerana selepas ini, saya ibaratkan setiap perlawanan seperti final. Kami tidak boleh harapkan Korea mengalahkan Myanmar, Vietnam, Taiwan untuk membolehkan kita layak.


“Kami perlu kumpul mata maksimum dan tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Myanmar semalam.

Tewas kepada Korea meskipun memberikan tentangan sengit menerusi dua jaringan penyerang A Thamil Arasu pada perlawanan pertama meletakkan Malaysia di tangga keempat, ketinggalan di belakang Myanmar, Korea dan Taiwan yang masing-masing mengumpul tiga mata.

Biarpun di atas kertas, Malaysia memiliki kelebihan untuk menundukkan Filipina di Stadium Aung San, Kim Swee tidak mahu anak buahnya terlalu ghairah memburu gol meskipun sedar perlu mencipta kemenangan besar selepas pasukan tuan rumah membelasah Filipina 5-1 pada perlawanan pertama.

“Kalau boleh kami perlu kumpul banyak gol kerana bagi saya kemenangan paling utama. Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain dengan meletakkan sasaran jumlah gol.

“Kami tidak boleh memperlekehkan Filipina walaupun tewas kepada Myanmar, mereka bertahan dengan hebat sebelum pintu gol mereka dibolosi,” katanya.

Memandangkan tempoh rehat singkat sebelum skuad negara turun untuk menentang Taiwan, Khamis ini, Vietnam (30 Jun) dan Myanmar (3 Julai), Kim Swee berkata, beliau sedia melakukan rombakan kesebelasan utamanya termasuk merehatkan Thamil Arasu yang mengalami kecederaan hamstring.

“Saya perlu ambil kira faktor kecergasan pemain kerana kita akan menghadapi tiga lagi perlawanan sukar selepas menentang Filipina. Saya akan membuat rombakan dan berharap pemain yang saya turunkan dapat memberikan sumbangan,” katanya yang turut kehilangan tonggak pertahanan tengah, Mohd Amer Saidin bagi baki kempen kali ini akibat kecederaan belakang dialami ketika sesi latihan semalam.

Malaysia bersaing di kejohanan ini untuk merebut salah satu daripada dua slot Kumpulan G untuk layak ke final Piala Asia B-22 tahun depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...