Wednesday, June 6, 2012

‘Saingan sengit’


Harian Metro

BIARPUN sekadar aksi persahabatan, ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal tetap menjangkakan pertembungan sengit antara Harimau Malaya dan Singapura apabila elemen maruah menjadi pertaruhan antara kedua-dua musuh tradisi itu.

Kenyataan pengendali kebangsaan itu didorong berpandukan kepada rekod lalu yang dilihat mampu menyuntik semangat juang anak buahnya apabila bertandang di Stadium Jalan Besar Jumaat ini.

“Setiap individu, pasukan dan rakyat kena ada (maruah), perkara ini biasa apabila kita menentang pasukan seperti Singapura dan Indonesia. Saya fikir perlawanan dengan Singapura sengit jika kita mengikut kepada sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.


“Pasukan Singapura mempunyai sedikit kelebihan, 18 pemain mereka bermain bersama dalam skuad Lions XII, tapi saya tidak mahu itu dijadikan alasan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tampak menambah lagi bahang pertemuan kedua-dua negara jiran ini pastinya apabila ia menjadi perlawanan pertama selepas Malaysia kecundang 3-5 di tangan skuad Singa kendalian Radojko Avramovic itu di gelanggang yang sama pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.

Justeru Rajagobal mahu anak buahnya turun beraksi dengan mentaliti menang sekali gus melupakan keputusan seri 0-0 dengan Filipina pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam Jumaat lalu.

“Saya mahu pemain fokus dalam permainan dengan mentaliti mahu menang. Sebagai jurulatih saya puas hati dengan aksi selama 90 minit pemain ketika menentang Filipina tapi perlawanan dengan Filipina sudah habis, biarlah kita fokus kepada Singapura,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai pengajaran yang diperoleh pemain pada pusingan kelayakan Piala Dunia itu, Rajagobal berkata, senario perlawanan kali ini berbeza.

“Ia senario berbeza, mungkin ketika itu kita terlalu mahukan sesuatu dan pemain-pemain tertekan beraksi pada kelayakan Piala Dunia. Apa yang penting kita mengambil pendekatan positif bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Skuad kebangsaan berlepas ke Singapura hari ini dengan pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor tidak dapat beraksi akibat kecederaan hamstring manakala Mohd Ashaari Samsudin masih belum pulih daripada kecederaan buku lali.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...