Thursday, June 21, 2012

‘Saya tunggu pemain kita’


Harian Metro

SAYA sudah berada di Blackburn dan menunggu kehadiran pemain Malaysia untuk beraksi di England,” kata Serbegeth Singh yang memulakan tugas sebagai Penasihat Global Kelab Bola Sepak Blackburn Rovers, semalam.

Mungkin mesej Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebbie itu agak ringkas, namun ia memberikan makna cukup besar buat pemain tempatan yang bercita-cita tinggi untuk bertapak di negara itu.


“Saya sentiasa memantau perkembangan Liga Malaysia (Liga-M) dan yakin sudah tiba masanya pemain kita berhijrah ke luar. Sekiranya mereka berbakat, mengapa tidak diberikan peluang beraksi di England? “Bagi saya, kehadiran saya sebagai Penasihat Global Blackburn Rovers harus dijadikan sebagai satu ruang merealisasikan impian ini. Saya juga sedia berkongsi pandangan untuk memajukan bola sepak Malaysia,” katanya yang dihubungi Arena Metro di pejabatnya, di Ewood Park, semalam.


Sebelum ini, dua pemain Harimau Malaya, Mohd Safee Sali dan Safiq Rahim pernah menjalani latihan percubaan dengan kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City, namun tidak berhasil atas masalah tertentu termasuk permit kerja ketat di England.


Shebbie yang juga penulis kolum mingguan dalam ruangan sukan Arena Metro ‘Bola Shebbie’ menyifatkan tugas barunya bersama Blackburn cukup mencabar selepas kelab itu tersingkir ke Liga Kejuaraan musim ini apabila menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-19 musim lalu.


Namun, beliau sedia menyahut cabaran baru itu berbekalkan pengalaman sedia ada untuk membantu kelab berpangkalan di Lancashire, England itu menjadi kelab berjaya seperti ketika menjuarai Liga Perdana pada musim 1994-1995.

“Saya harap pengalaman selama 15 tahun sebagai penganalisis bola sepak akan dapat membantu saya menjalankan tugas bersama kelab ini. Ini tugas yang sukar, terutama untuk mengemudi kelab ini mencapai lebih kejayaan,” katanya yang menyatakan tugasnya lebih besar berbanding pengarah bola sepak seperti yang dilaporkan akhbar ‘Daily Mail’ United Kingdom kelmarin.


Shebbie, 43, pernah menyarung jersi kebangsaan bermula pada 1978-1996. Dia yang beraksi di posisi pertahanan adalah kapten pasukan Kuala Lumpur dan pernah membantu pasukannya menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari 1987 hingga 1989.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...