Monday, June 18, 2012

Skuad Bawah 22 benam Qatar


Nazmi Faiz Mansor (kanan) dilayangkan kad merah ketika aksi persahabatan di antara skuad Bawah 22 Malaysia dan Qatar di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM - Skuad Bawah 22 Tahun Malaysia membenam lawan sebaya Qatar 2-0 dalam perlawanan persahabatan yang dicemari insiden kad merah kepada bintang berbakat, Nazmi Faiz Mansor pada babak pertama.

Jaringan menerusi sepakan bebas Irfan Fazail dan Rozaimi Rahman pada minit ke-25 dan 68 di Stadium Shah Alam, membolehkan anak buah Ong Kim Swee membalas dendam kekalahan 4-0 pada persahabatan di Doha, tahun lalu.


Namun Nazmi Faiz yang bakal ke kelab Portugal, Beira-Mar, Ogos ini, menempah padah gara-gara gagal mengawal emosi ketika menyerang pemain Qatar, Abdelkarim Hassan Fadlalla yang terlebih dulu mengasari Azrif Nasrulhaq pada minit ke-42.

Angkara terjahan keras, pemain lawan bertubuh besar itu turut dikenakan kad merah malah nyaris mendorong pergaduhan rakan sepasukan masing-masing sekiranya tidak ditenteramkan lebih awal oleh pemain dan pengadil.

Perlawanan ini turut menjadi medan pemanas badan kedua-dua pasukan ke Kejohanan Bawah 22 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di Myanmar, minggu ini dengan tuan rumah tewas 1-0 kepada China, baru-baru ini.

Namun anak buah Kim Swee jelas menguasai perlawanan malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebenarnya mampu menang dengan 4-0 jika dua lagi peluang keemasan dapat disudahkan pada minit ke-14 dan ke-30.

Kim Swee pada sidang akhbar berkata: "Kemenangan ini cukup lama dinantikan terutama dengan mana-mana pasukan Asia Barat. Ia berhak diraih pasukan kita selepas tewas 4-0, tahun lalu sebelum Kelayakan Olimpik menentang Lebanon.

"Hari ini pasukan kita menunjukkan kemampuan sebenar untuk bersaing dengan lawan lebih handal dan menjadi bekalan keyakinan ke Myanmar menjelang perlawanan sulung menentang Korea Selatan, sebuah pasukan yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Sementara itu jurulatih Qatar, Alain Andre Christian Perrin mengakui, anak buahnya dan Nazmi Faiz sememangnya patut dikenakan kad merah gara-gara kesalahan mereka selain memuji tuan rumah yang berhak menang dengan mutu persembahan baik.

"Kami buat banyak kesilapan namun pasukan anda memang bermain baik. Kad merah itu memang wajar dikenakan. Ada tiga empat hari lagi untuk kami perbaiki kelemahan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...