Saturday, July 7, 2012

FAM tak mahu bantah


Harian Metro

PINTU buat skuad negara untuk beraksi di pusingan akhir Kejohanan Piala Asia Bawah 22 Tahun (B-22) tahun depan sudah tertutup selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak mahu membuat bantahan rasmi ke atas Myanmar yang disyaki menggunakan pemain lebih umur pada saingan kelayakan Kumpulan G di Yangon baru-baru ini.

Keputusan FAM untuk tidak menghantar laporan lengkap surat bantahan dalam tempoh 48 jam selepas tamat perlawanan Malaysia dan Myanmar Selasa lalu itu dibuat atas alasan, bukti yang diperoleh tidak cukup bagi membolehkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat siasatan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, keputusan dibuat selepas merujuk kepada badan induk bola sepak Asia itu yang hanya memperakui dokumen rasmi kad pengenalan diri atau pasport semasa pendaftaran dan bukannya berasaskan kepada laporan media dan laman web lain yang boleh digodam.


“Saya mengesahkan pasukan Malaysia ada menghantar surat bantahan awal selepas perlawanan dengan Myanmar di Yangon. Namun FAM membuat keputusan tidak mahu membuat bantahan susulan dan keputusan ini sudah dimaklumkan kepada Presiden, Sultan Ahmad Shah pagi tadi (semalam).


“FAM sudah membuat siasatan secara terperinci dan kami terima data-data dari pelbagai sumber termasuk AFC. FAM tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyokong kes ini dan perlu berhati-hati agar perkara ini tidak memberi implikasi tidak baik kepada imej FAM dan hubungan Malaysia dengan negara Asean,” katanya pada sidang media khas semalam.

Tanpa bantahan, slot pasukan kedua terbaik sah milik Myanmar yang akan mengiringi juara Kumpulan G Korea Selatan ke pusingan akhir Piala Asia B-22 tahun depan.

Malah Malaysia juga tidak berpeluang untuk beraksi sebagai tuan rumah kejohanan itu memandangkan Oman dan Thailand sudah membuat bidaan sebelum bidaan itu ditutup.

Isu pemain lebih umur Myanmar timbul apabila pasukan tuan rumah itu didakwa menurunkan Kyaw Zayar Win, Kyi Lin dan penjaring dua gol ketika menewaskan Malaysia 2-1, Kaung Si Thu.

Hasil siasatan kepada dokumen pendaftaran pemain itu mengesahkan ketiga-tiga pemain berkenaan masih berusia bawah 22 tahun termasuk kapten, Zayar Win yang sebenarnya mempunyai nama sama dengan pemain lebih tua.

“Kami hanya boleh menggunakan dokumen rasmi yang dihantar oleh kerajaan Myanmar kepada AFC dan bukan menjadi amalan AFC atau FAM untuk mempersoalkan kesahihan dokumen yang dikeluarkan kerajaan Myanmar atau mana-mana kerajaan sekalipun.

Ketika ditanya mengenai laporan terbaru ESPNSTAR.com semalam mengenai dakwaan Zayar Win sudah berusia 24 tahun berdasarkan maklumat senarai kesebelasan pemain dalam perlawanan Kanbawza menentang Loyola Meralco Sparks pada suku akhir Piala Singapura, Azzuddin berkata: “Saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, itu sesuatu yang baru.”

Menurut laporan itu, jurulatih Kanbawza mengakui Zayar Win adalah kapten pasukan Myanmar B-22.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...