Thursday, July 12, 2012

Kumpulan maut


Harian Metro

LALUAN skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF cukup berliku apabila diundi bertemu dua musuh tradisi, Indonesia dan Singapura dalam saingan peringkat Kumpulan B yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, November ini.

Biarpun berjaya mengelak daripada bertemu pasukan di ranking lebih tinggi, Vietnam dan Thailand serta pasukan yang sedang meningkat naik, Filipina dalam Kumpulan A, elemen 'musuh tradisi' itu pasti membuatkan pertembungan dalam Kumpulan B lebih hangat.



Apatah lagi, perlawanan Malaysia dan Indonesia pada peringkat awal itu ibarat perlawanan ulangan final dua tahun lalu yang dimenangi oleh skuad kendalian Datuk K Rajagobal menerusi agregat 4-2 pada aksi timbal balik di Bukit Jalil dan Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Bagi Rajagobal, beliau mengakui anak buahnya bakal berdepan tugas sukar namun misi mereka tetap sama, mahu memastikan piala itu kekal di Kuala Lumpur buat kali kedua sejak kejohanan bola sepak terbesar Asia Tenggara itu dianjurkan pada 1996.

“Saingan kali ini pasti akan menjadi lebih menarik. Perlawanan kami akan menarik ramai penyokong ke stadium. Bagaimanapun keutamaan kami sebagai pasukan tuan rumah adalah memenangi perlawanan peringkat kumpulan dan layak ke separuh akhir.

“Namun tidak dapat dinafikan hasrat kami adalah untuk menjadi juara... itulah sasaran kami,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Bagi melengkapkan senarai pasukan pada edisi kesembilan Piala Suzuki AFF, Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan Myanmar akan berentap pada pusingan kelayakan yang bakal diadakan di Yangon bermula 5-13 Oktober depan.

Juara pusingan kelayakan itu akan layak beraksi dalam Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Rajamangala Bangkok manakala naib juara berentap dalam Kumpulan B.

Rajagobal yang berada di Bangkok bagi menghadiri majlis undian itu berkata: “Saya teruja dengan cabaran kali ini. Indonesia dan Singapura pasukan yang kuat. Pasukan dari pusingan kelayakan juga kuat.” Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Singapura pada 25 November dan berdepan pasukan naib juara kelayakan (28 November) sebelum menentang Indonesia pada aksi terakhir (1 Disember).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...