Sunday, July 8, 2012

Lupakan Piala Asia




PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan tidak akan mengemukakan bantahan rasmi berhubung dakwaan Myanmar menggunakan pemain lebih umur ketika menewaskan Malaysia 2-1 dalam perlawanan Kumpulan G kelayakan Kejohanan Bawah 22 Tahun Piala Asia, Selasa lalu.


Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, persatuan tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyokong bantahan itu sekiranya dikemukakan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang hanya mengiktiraf dokumen rasmi kerajaan negara asal pemain berkenaan seperti pasport antarabangsa.



Jelasnya, segala laporan media termasuk akhbar Myanmar atau biodata pemain berkenaan dalam mana-mana laman sesawang juga tidak boleh diterima sebagai bahan bukti, mahupun maklumat pendaftaran mereka ketika Sukan Asia, Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF lalu.


"AFC mempunyai sistem pentabdiran pendaftaran dan pangkalan data pemain yang dibuat daripada setiap kejohanan peringkat umur anjurannya justeru maklumat selain itu yang mungkin dipinda atau digodam, tidak boleh diambil kira dan berada di luar bidang kuasa mereka," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.


Kata Azzuddin, AFC telah menerima laporan bantahan awal pasukan Malaysia kepada pengawas perlawanan berkenaan, Selasa lalu dan memberikan maklum balas berhubung garis panduan sekiranya FAM mahu meneruskan bantahan secara rasmi sehingga tempoh akhir kelmarin iaitu 48 jam selepas perlawanan.


"Susulan itu, FAM menjalankan siasatan dalaman terperinci dan mendapati tiga pemain Myanmar yang didakwa melebihi umur - Kyaw Zayar Win, Kyi Lin dan Kaung Si Thu mempunyai pasport antarabangsa yang sah dan rasmi diperakui kerajaan negara mereka serta tidak melanggar peraturan pertandingan.


"Siasatan kami juga menunjukkan terdapat pemain mereka yang (kebetulan) mempunyai nama dan tarikh lahir yang sama (seperti didakwa dalam media dan diperoleh daripada beberapa laman sesawang termasuk kelab di Myanmar) tetapi orang, wajahnya malah bapanya berlainan," katanya.


Mengenai sama ada ujian perubatan Imbasan Gema Magnetik (MRI) boleh digunakan AFC bagi mengesan biologi pemain yang didakwa melebihi umur, kata Azzuddin, secara saintifiknya ia hanya dapat dijalankan terhadap pemain yang berusia bawah 16 tahun, malah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak mengiktirafnya dan hanya menggunakan dokumen rasmi pasport.


Katanya, FAM juga perlu menyediakan yuran AS$500 (RM1,500) di samping bantahan rasmi kepada AFC itu yang tidak akan dipulangkan sekiranya tiada asas kukuh tetapi ia bukan bererti persatuan gentar untuk membelanjakannya sebaliknya lebih kepada bimbangkan imej, kewibawaan dan hubungan dengan negara Asia Tenggara lain, terjejas ekoran daripada itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...