Saturday, July 28, 2012

Malaysia XI benam Indonesia B22 6-0


Pasukan pilihan Malaysia telah menewaskan Indonesia Bawah-22 6-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno malam ini.


Perlawanan persahabatan antara Malaysia XI dengan Indonesia B22 ini telah diaturkan selepas Piala Java yang pada awalnya patut disertai oleh Galatasaray, Everton, Malaysia dan Indonesia B22 telah ditunda ke bulan Ogos.


Pasukan Malaysia XI yang merangkumi pemain Harimau Muda serta lapan pemain senior Liga Malaysia termasuk dua pemain import telah membuat persiapan untuk Piala Java sejak Isnin lepas namun tidak berpeluang untuk bertemu Galatasaray seperti yang dijadualkan.



Malam ini, dalam perlawanan persahabatan tertutup di antara Malaysia XI dengan Indonesia B22, Malaysia XI telah menumpaskan Garuda muda 6-0 di Stadium Gelora Bung Karno.


Jurulatih, Ong Kim Swee telah menurunkan kesemua pemain senior beserta tiga pemain Harimau Muda pada separuh masa pertama dimana ternyata kelebihan terletak di pihak Malaysia.


Pada minit ke-11, Ahmad Hazwan Bakri telah menyumbat masuk gol pertama Malaysia hasil hantaran oleh kapten pasukan Selangor, Amri Yahyah.


Kemudian pada minit ke-15 Michal Kubala pemain import Perak telah menjaringkan sepakan penalti dan meletakkan Malaysia XI 2-0 di hadapan selepas pemain ATM, Christie Jayaseelan dikasari dalam kotak penalti.


Indonesia gagal untuk melakukan sebarang serangan dan hanya bertahan pada sepanjang separuh masa pertama.


Pemain PKNS, Azrif Nasrulhaq kemudian menjaringkan gol ketiga perlawanan pada minit ke-31 hasil hantaran oleh Amri.


Amri Yahyah kemudian menjaringkan gol keempat dan kelima untuk Malaysia XI 10 minit sebelum separuh masa pertama tamat.


Pada separuh masa kedua, Ong Kim Swee telah menggantikan kesemua pemain senior dengan pemain Harimau Muda selepas Shukor Adan selaku kapten pasukan, menjaringkan gol keenam pada minit ke-60.


Perlawanan yang lebih seimbang dapat dilihat hampir seluruh masa kedua apabila tiada lagi pemain senior yang beraksi dalam pasukan Malaysia XI.


Indonesia berjaya melakukan beberapa percubaan melalui bintangnya, Andik Vermansyah tetapi berjaya dipertahankan penjaga gol kedua Harimau Muda, Shahril.


Sumber: EspnStar.My

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...