Saturday, July 28, 2012

Owona meluap-luap


Harian Metro

STATUS penjaring terbanyak saingan Liga Super menyuntik semangat ayam tambatan Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona, untuk terus memberikan persembahan terbaik dan membantu pasukan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Pemain kelahiran Cameroon itu menjaringkan 15 gol pada penyertaan musim pertamanya dalam Liga Malaysia dan bertekad meneruskan aksi terbaik sebaik saingan merebut piala berprestij itu membuka tirainya selepas Aidilfitri nanti.

Menurut pemain berusia 28 tahun itu, dia mahu meneruskan aksi cemerlang bagi melakar sejarah pertama merangkul kejuaraan Piala Malaysia selepas membantu Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih pada awal musim.


“Kegagalan menjulang Liga Super amat dirasakan dan saya harap ia tidak berulang pada saingan Piala Malaysia.

“Memang rasa terkilan tidak dapat membantu pasukan menjuarai Liga Super, namun saya akui saingan amat mencabar dan kami gagal meneruskan rentak cemerlang.

“Saya akan terus berusaha untuk memberikan persembahan terbaik bagi memastikan trofi utama itu kekal bersama Negeri Sembilan,” katanya semalam.


Bagi Effa, dia belum berpuas hati terhadap sumbangannya kepada pasukan dan berharap misinya untuk menjulang trofi kemegahan itu tercapai.

Bekas pemain Hatta Club Dubai itu berkata, walaupun muncul penjaring terbanyak liga, ia belum begitu bermakna kerana kejayaan pasukan lebih penting.

Pemain yang memakai jersi No.10 itu sedar harapan tinggi diletakkan pasukan dan berjanji akan terus berusaha untuk membalas kepercayaan itu dengan sebaik mungkin.

“Matlamat saya untuk menjulang mana-mana pasukan yang saya wakili tapi kejayaan sesebuah pasukan bukan terletak kepada satu atau dua pemain, sebaliknya semua yang terbabit dengan pasukan itu.

“Saya berjanji untuk terus berusaha memberikan persembahan terbaik dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan untuk memastikan kami mendapat kejayaan lebih baik musim ini terutama dalam misi mempertahankan trofi Piala Malaysia.

“Saya juga yakin semua rakan-rakan lain mempunyai keazaman yang sama untuk merealisasikan matlamat itu,” kata Owona.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...