Monday, October 29, 2012

Beberapa pemain kebangsaan dapat tawaran PBNJ


SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) Suhairi Hashim mengesahkan sudah menawarkan kontrak kepada beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang beraksi dengan pasukan kelab dan negeri bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi Liga Super, musim depan.

Beliau berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan lanjut dengan pemain terbabit yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan masing-masing sehingga penghujung tahun ini.

“Sehingga kini, tiada pemain menandatangani kontrak secara rasmi kerana kami mahu mereka menyelesaikan segala urusan bersama majikan masing-masing terlebih dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada seminar Liga Malaysia 2013-2016, semalam.


Media sebelum ini melaporkan PBNJ berminat mendapatkan khidmat kapten pasukan Selangor, Safiq Rahim serta tiga pemain Angkatan Tentera Malaysia iaitu Mohd Azmi Muslim serta pasangan kembar Mohd Aidil Zafuan dan Mohd Zaquan Abdul Razak bagi mewakili pasukan itu. musim hadapan.

PBNJ juga dilaporkan turut memancing tiga pemain dari juara treble musim ini, Kelantan membabitkan penyerang Norshahrul Idlan Talaha, pemain tengah, Mohd Nurul Azwan Roya dan pemain pertahanan, Daudsu Jamaluddin.

Dalam perkembangan lain, Suhairi berkata pihaknya sudah menghantar permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan bagi mendaftar pasukan Kelab Sukan Perbadanan Johor atau Johor FC di bawah pengurusan baru yang diketuai Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim untuk saingan liga musim depan.

Sebagai rekod, Johor FC sebuah kelab bola sepak berdaftar di bawah PBNJ. 

“Kita sedang bekerjasama dengan pengurusan Johor FC bagi memastikan proses pertukaran pentadbiran ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat ini. Ini selaras dengan titah Tunku Ismail Idris yang berhasrat melihat pentadbiran pasukan bola sepak Johor diuruskan di bawah satu bumbung saja,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...