Monday, October 29, 2012

Effa Owona sah perkasa Penyu


Harian Metro

PENYERANG berbisa Negeri Sembilan, Jean Emmanuel Effa Owona sah menyarung jersi skuad Penyu pada saingan Liga Malaysia tahun depan selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), semalam.

Owona lebih dikenali sebagai Effa di kalangan peminatnya, bakal mengambil tempat dikosongkan penyerang Liberia, Francis Doe yang kontraknya tidak diperbaharui.

“Saya gembira mendapat peluang beraksi dengan Terengganu musim depan kerana saya tahu pasukan ini sedang berusaha membentuk pasukan baru yang mampu meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan.

“Saya mempunyai pengalaman manis di Negeri Sembilan apabila menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan namun saya pasti nasib saya menjadi lebih baik di Terengganu dan yakin dapat menjaringkan lebih banyak gol nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis ringkas menandatangani kontrak di pejabat PBSNT di Kuala Terengganu, semalam.



Menurut bekas pemain antarabangsa Cameroon dan kelab Perancis, FC Metz itu, dia kini dapat pulang bercuti di kampung halamannya di Ikbongo, Cameroon dengan aman selepas urusan menandatangani kontrak selesai dijalankan.


“Saya akan kembali semula pada minggu terakhir bulan depan dan kali ini saya akan membawa bersama isteri dan anak menetap di Kuala Terengganu.

“Sepanjang bermain dalam Liga Malaysia musim ini, saya sudah mengenali beberapa pemain Terengganu dan tidak sabar untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan mereka,” katanya yang memenangi Piala Sumbangsih bersama Negeri Sembilan musim ini.


Sementara itu, pengurus Terengganu, Marzuki Sulong berkata, pihaknya masih mencari seorang lagi pemain import untuk memperkuatkan pasukan.

“Kali ini kami mencari pemain pertahanan pula dan setakat ini sudah ada tujuh pemain dari beberapa negara termasuk Ghana dan Brazil bersetuju menghadiri sesi pemilihan yang bermula 7 November depan,” katanya.


Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa pemain tempatan yang sanggup berhijrah ke Terengganu, namun enggan menamakan mereka buat masa ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...