Wednesday, October 31, 2012

FAM tak benarkan kelab sertai Piala Presiden


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan penyertaan pasukan berstatus kelab bagi saingan Piala Presiden bermula tahun depan sehingga 2016.

Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata keputusan itu dibuat Jawatankuasa Eksekutif FAM baru-baru ini yang bertujuan memberi peluang kepada pasukan negeri melahirkan lebih ramai pemain pelapis untuk diserapkan ke dalam skuad utama negeri masing-masing pada masa akan datang. “Piala Presiden musim depan hanya dihadkan kepada 16 pasukan serta dua pasukan jemputan iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar dan format kejohanan itu akan diadakan secara liga.


“Pasukan kelab bagaimanapun masih boleh bersaing dalam kejohanan lain seperti Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM pada musim depan,” katanya pada sidang media khas selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM, semalam.

Afandi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua pasukan negeri dan kelab yang bersaing dalam Piala Presiden musim ini.

Beliau berkata keputusan itu juga membolehkan pasukan kelab yang bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana mendaftarkan sehingga 30 pemain berbanding pasukan negeri yang hanya boleh menyenaraikan 25 pemain.

“Kita akan melihat perkara ini dari semasa ke semasa. Sekiranya ada rayuan dan sebagainya, kita akan melihat perkara itu terlebih dulu sebelum mengambil tindakan bersesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Afandi mengingatkan kesemua pasukan yang bersaing dalam kejohanan bola sepak anjuran FAM supaya mematuhi tarikh pendaftaran pemain untuk musim depan yang bakal berakhir pada 23 November ini.

Beliau berkata FAM sudah memberi segala input mengenai pendaftaran pemain seperti kontrak dan gaji melalui penganjuran Seminar Liga Malaysia 2013-2016 selama tiga hari yang berakhir semalam.

“Kita tidak mahu wujud lagi sebarang masalah dari segi pendaftaran pemain seperti borang yang perlu dihantar kepada sekretariat FAM,” katanya sambil menambah FAM akan mengadakan seminar yang sama khusus kepada pengurus pasukan dan ketua jurulatih pada bulan depan.

Piala Presiden, kejohanan bola sepak anjuran FAM sejak 1985 dikhususkan buat pemain bawah 21 tahun. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...