Wednesday, October 31, 2012

Pantau isu kontrak


Harian Metro

“SAYA berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat melihat perkara ini (isu kontrak) demi memastikan setiap peraturan dipatuhi dan dilaksanakan sebaik mungkin,” kata Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau mengulas isu segelintir pemain tidak menghormati kontrak dengan pasukan lama apabila menandatangani kontrak baru menjelang Liga Malaysia (Liga M) 2013.

Tindakan itu mengundang rasa tidak senang beliau kerana menyifatkan ia sesuatu yang tidak beretika dan menggambarkan pemain tidak menghormati kontrak ditandatangani dan dipersetujui dengan pasukan lamanya.


Menurut Mohamad, pemain sepatutnya sedar mereka tidak boleh menandatangani kontrak baru dengan pasukan lain selagi kontrak lama masih berkuatkuasa.

“Ini berlaku pada pemain Negeri Sembilan apabila menandatangani kontrak dengan pasukan baru sedangkan kontrak asal dengan PBNS masih sah sehingga hujung November depan. Persatuan bola sepak negeri-negeri sepatutnya arif perkara ini.

“Sepatutnya, persatuan negeri yang berhajat mendapatkan pemain Negeri Sembilan menulis surat secara rasmi kepada PBNS bagi membolehkan perpindahan pemain dilakukan secara baik.

“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya, mereka (persatuan negeri) terus berbincang dengan pemain dan membenarkan mereka menandatangani kontrak baru,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Seremban, semalam.

Beliau mengulas tindakan pemain import Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona, yang dilaporkan sudah menandatangani kontrak baru dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu bagi menghadapi saingan musim depan.
Menurut Mohamad, dalam era bola sepak profesional, seharusnya pengurusan pemain juga dibuat secara profesional kerana ia penting untuk kemajuan bola sepak negara.

Katanya, pihaknya tidak bercadang memberikan cadangan kepada FAM mengenai peraturan berkaitan kerana badan induk bola sepak negara itu lebih arif mengenainya.

“Apa yang saya harapkan, FAM dapat menilai dan melihat secara keseluruhannya mengenai perkara ini supaya pemain tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan hingga menyusahkan pasukan atau menyebabkan hilangnya nilai kredibiliti kontrak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...