Saturday, November 17, 2012

Awasi ejen kaut keuntungan: Azraai


Harian Metro

AWASI kerenah ejen yang hanya mahu meraih keuntungan! Begitulah peringatan ketua jurulatih skuad Liga Super Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan persatuan negeri lain agar tidak terpedaya dengan kelicikan orang tengah dalam urusan pengambilan awang import untuk musim 2013.

Azraai berkata demikian selepas kecewa dengan tiga awang import yang dibawa ejen untuk menjalani ujian bersama pasukan Seladang, semalam.

“Mereka langsung tidak menepati piawaian. Entah dari mana pemain itu dikutip untuk dibawa ke mari.



“Sepatutnya dua pemain Brazil dan seorang Maghribi yang datang tapi sebaliknya ketiga-tiga yang datang adalah dari Brazil.

“Selain tidak mempunyai CV dan sebarang surat keterangan diri, mereka juga tidak mempunyai ciri-ciri pemain bola sepak handalan,” katanya.

Begitupun Azraai berkata, beliau terpaksa melayan kehadiran mereka kerana Pafa setuju memberi peluang kepada mereka.

“Saya sudah beritahu penolong saya (Chong Yee fatt) supaya berhati-hati ketika melayani ejen-ejen bola sepak ini.

“Mereka mahu menjual barangan dan akan melakukan apa saja agar barang mereka laku dijual,” katanya.

Azraai berkata, apa yang beliau mahu ialah pemain ternama yang memiliki pengalaman antarabangsa atau bekas pemain Piala Dunia sesebuah negara .

“Saya bukan mahu pemain tangkap muat saja dalam pasukan tapi yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada Perak dalam kempen Liga M.” Pengendali berpengalaman itu bagaimanapun berkata, Perak akan menerima pemain import berwibawa yang berjaya melepasi saringan dibuatnya mulai 20 November ini.

“Mereka terdiri daripada pemain kebangsaan negara masing-masing. Kami sudah menghubungi ejen mereka untuk dibawa ke Ipoh mulai minggu depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...