Tuesday, November 27, 2012

Luar biasa jika ulangi AFF 2010



KUALA LUMPUR - Harimau Malaya pasti dianggap begitu 'luar biasa' sekiranya mampu mengulangi kebangkitan mendadak daripada kekalahan perlawanan pertama Piala Suzuki AFF 2012 kepada Singapura kelmarin seperti mana ketika di Jakarta (dibelasah Indonesia 5-1), dua tahun lalu.

Kata bekas pemain negara yang juga pengulas sukan TV Astro Arena, Azlan Johar, biarpun bukan mustahil sejarah boleh berulang, agak sinis untuk sesiapa merelakan pasukan kita tewas apatah lagi sehingga dengan tiga gol tanpa berbalas kepada musuh tradisi di gelanggang sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil.



"Tak akan kita rela atau kita boleh pasti apabila setiap kali apa-apa kejohanan, kita berkata, tidak mengapalah pasukan kita tewas dulu kerana akhirnya akan muncul juara? Sepatutnya sejarah bukan untuk terus diceritakan tetapi diperbaiki dan tidak semestinya sebagai juara bertahan, kita tiada kelemahan langsung selepas dua tahun.

"Hakikat ini sudah terbukti (kelmarin). Pasukan kita seperti tidak belajar. Dua tahun lamanya (selepas juara 2010), apa yang mereka buat? Kerap kali Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) menangguhkan liga tahun ini demi kepentingan pasukan kebangsaan (kem latihan dan perlawanan persahabatan), tetapi inikah hasilnya?," katanya.

Kata Azlan, persembahan anak buah Rajagobal memang mendukacitakan, malah beliau tertanya-tanya kenapa setelah ditinggalkan dua gol jaringan Mohammad Shahril Ishak dalam tempoh enam minit, barulah mereka cuba bermain agresif dan laju tetapi sehingga terlupa pula barisan belakang dan dihukum dengan gol Aleksandar Duric.

"Selepas ketinggalan 2-0, baru mereka hendak bermain agresif dan laju? Sampai terlupa pula Duric yang tidak dikawal sesiapa, memerangkap kita dengan gol ketiga," katanya yang menganggap satu tugas yang bukan kepalang untuk skuad negara bangkit menebusnya, esok apabila menentang Laos yang bukan lagi boleh dilabel kerdil selepas diikat Indonesia 2-2 terdahulu.

"Saya turut terbaca Utusan Malaysia hari ini (semalam) dan daripada gambar penyokong menahan bas pasukan kita, mampu menjejaskan moral pemain khususnya. (Tindakan) ini menunjukkan mereka marah sangat dengan pasukan. Pemain juga mungkin boleh jadi takut untuk bermain lagi.

"Menentang Laos, saya harap pasukan kita tidak memandang mudah lawan. Saya melihat aksi mereka memang bagus dengan Indonesia (kelmarin). Ada seorang dua pemain tengah Laos yang hantaran pendek atau caranya membuka permainan, lebih baik daripada kita. Pasukan kita kena berhati-hati," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...