Thursday, January 10, 2013

FAM: Affize sah milik ATM


Sumber: Sinar Harian Online

Kemelut antara bekas pemain Harimau Muda A,  Mohd Affize Faisal Mamat antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menemui noktah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan pemain berusia 24 tahun itu kini sah menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan di Wisma FAM, hari ini.

Takiyuddin berkata berikutan keputusan itu, Affize boleh mewakili pasukan ATM dalam Liga Malaysia 2013 berkuat kuasa hari ini.


"Selepas Affize tidak dinamakan sebagai pemain Harimau Muda A musim ini, pemain itu telah dihantar kembali ke pasukan asalnya, Terengganu.

"Tetapi, walaupun dihantar kembali, persetujuan untuk bermain di pasukan asal harus dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Sekiranya pemain itu tidak bersetuju untuk bermain dengan pasukan asal, maka Terengganu tidak boleh mengikat beliau.

"Jadi, oleh kerana tidak mencapai kata sepakat kedua-dua pihak, dalam peraturan FAM, Affize tidak terikat untuk bermain dengan negeri asal, dan  ATM berhak menandatangani perjanjian dan menggunakan khidmat Affize dalam Liga Malaysia musim ini," katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menjelaskan sebagai penghargaan kepada Terengganu yang banyak mendidik Affize, pihaknya telah membuat keputusan agar pasukan ATM membayar RM5,000 sebagai saguhati.

"Oleh kerana Terengganu banyak mendidik Affize, maka Jawatankuasa Status membuat keputusan agar ATM membayar saguhati berjumlah RM5,000 sebagai saguhati buat Terengganu.

"Dan pembayaran ini perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari," ujarnya.

Selain itu, Takiyuddin turut mengumumkan bahawa pihaknya akan memotong defisit daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berikutan kegagalan persatuan itu membayar pampasan kepada bekas jurulatih pasukan itu, Mohd Nidzam Adha Yusoff.

Jelasnya, terdahulu FAM telah mengarahkan persatuan tersebut agar membayar pampasan dalam tempoh sebulan dari tarikh surat dikeluarkan, namun tiada tindakan yang dilakukan oleh PFA sehingga sekarang.

"Sepatutnya PFA membayar pampasan tersebut, namun disebabkan kegagalan melunaskan pampasan tersebut, kami terpaksa memotong defisit mereka," kata beliau.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...