Tuesday, January 1, 2013

FAM bertegas soal keselamatan stadium



SHAH ALAM - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, pihaknya tetap tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan venue walaupun kehadiran peminat pada aksi pembuka tirai Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini tidak dijangka seramai sebagaimana perlawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA.

Naib Presidennya yang juga Pengerusi Pertandingan Tempatan, Datuk Hamidin Amin berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 penonton, namun itu bukan satu alasan untuk mengambil remeh soal keselamatan stadium.


"Kami tidak menjangkakan stadium penuh dengan 90,000 penonton tetapi kami memberi jaminan, soal keselamatan sentiasa dititikberatkan dengan kekuatan pasukan keselamatan akan jauh lebih daripada mencukupi.

"Kawalan keselamatan akan dibuat ibarat mana-mana perlawanan akhir," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola di sini, semalam.

Mesyuarat selama 45 minit itu turut disertai sepasukan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengenai jualan tiket, Hamidin memberitahu, tiket akan mula dijual di kaunter stadium pada pagi Jumaat. Harga yang dikenakan untuk tiket dewasa ialah RM20 manakala kemasukan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah adalah percuma.

"Keuntungan hasil jualan tiket selepas menolak segala kos penganjuran akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang terlibat," tambah Hamidin.

Pasukan juara treble, Kelantan akan cuba merampas kembali trofi yang dimenangi pada 2011 setelah dikecewakan 1-2 oleh Negeri Sembilan tahun lalu.

Juara Liga Perdana yang juga Naib juara Piala Malaysia, ATM bakal membuat penampilan sulung perlawanan Sumbangsih yang mempunyai sejarah sejak 1985 itu.

Perlawanan Sumbangsih menandakan bermulanya kerancakan musim baharu Liga Malaysia dengan saingan Liga Perdana akan bermula pada 7 Januari ini, diikuti Liga Super sehari kemudian.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...