Friday, January 4, 2013

Ghaddar sah sertai Felda United

Sumber: Metro online
 
TEKA-teki siapakah seorang lagi pemain import Felda United bagi mengharungi kempen Liga Super bermula 8 Januari ini akhirnya terjawab apabila bekas penyerang Kelantan, Mohammed Ghaddar sah menyertai pasukan berstatus kelab itu.
 
Pemain berusia 29 tahun itu yang ditemui pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain Felda United malam tadi berkata, dia memilih kelab yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 musim lalu kerana mahu membantu pasukan itu meraih keputusan lebih baik musim ini.
 

“Saya pulang ke Lubnan selepas saingan Piala Malaysia musim lalu dan hanya tiba, Ahad lalu. “Saya baru menjalani latihan pertama bersama rakan sepasukan hari ini dan sudah tentu berharap dapat menjaringkan lebih banyak gol untuk Felda United pada musim ini,” katanya.

Ghaddar sudah menandatangani kontrak bersama Felda United selepas tamat saingan Liga Malaysia musim lalu sebelum pulang ke Lubnan.

Felda United di bawah bimbingan K Devan sebelum ini sudah menyambar pemain pertahanan dari Brazil, Carlos Roberto Pereira Alves.

Ghaddar antara watak penting kejayaan The Red Warriors meraih tiga kejuaraan musim lalu apabila Kelantan muncul juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Sebelum ini timbul persoalan mengenai status pemain Lubnan itu apabila dilihat menyaksikan sesi latihan Felda United di Bangi, Isnin lalu.

Sepanjang bersama Kelantan musim lalu, Ghaddar menjaringkan 21 gol dalam semua saingan ketika bergandingan dengan penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai, Norshahrul Idlan Talaha.
Felda United meraih keputusan positif ketika mengharungi perlawanan persahabatan di Bangkok baru-baru ini apabila berjaya menewaskan Bangkok United 3-1 dan seri 1-1 dengan BEC Tero Sasana.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...