Thursday, January 10, 2013

Isu Affize: PBSNT ambil sikap tunggu dan lihat

Sumber: Metro Online
 
Kuala Terengganu: Bagi mengelak suasana menjadi lebih keruh, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil sikap tunggu dan lihat selain menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan berhubung kemelut dihadapi bekas tonggak Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat yang gagal mengikut peraturan badan induk itu.
 
Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, beliau menyerahkan keputusan mengenai pemain itu kepada kebijaksanaan FAM yang dijangka bermesyuarat hari ini dan keputusan terbaik diharap akan dapat dicapai dalam perbincangan itu.

“Saya enggan mengulas lebih lanjut dan membuat sebarang andaian berhubung kemelut pemain itu bagi mengelak keadaan menjadi lebih tegang sebaliknya menyerahkan kepada FAM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi pembangunan bola sepak negara.

“Bagaimanapun, saya berharap keputusan yang bakal diputuskan perlu diteliti daripada pelbagai sudut termasuk peraturan FAM yang jelas menyatakan pemain yang tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda A perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran,” katanya.

Sebelum ini, pemain kelahiran Hulu Terengganu itu menjadi rebutan antara Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) biarpun mengikut peraturan pasukan lain tidak boleh memancing pemain itu kecuali pasukan negeri kelahiran melepaskannya.

Berikutan sikap tidak profesional Affize selain pengurusan ATM yang tidak mengikut peraturan ditetapkan FAM, namanya tiada dalam pendaftaran pemain Liga M musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...