Monday, January 14, 2013

Isu Butler-Hodak: FAM belum terima aduan


Sumber: Sinar Harian

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia menunggu aduan rasmi sebelum boleh bertindak susulan laporan dakwaan Ketua Jurulatih T-Team, Peter Butler bahawa rakan sejawatannya dari Kelantan, Bojan Hodak telah mengeluarkan kata-kata menghina ibunya, kelmarin.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya tidak boleh mengambil apa-apa tindakan melainkan menerima aduan daripada pihak terbabit.

"Saya tidak boleh membuat sebarang komen mengenai isu ini, melainkan pihak FAM telah menerima aduan.

"Setakat ini, kami masih belum menerima apa-apa aduan," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Dalam laporan media tempatan hari ini, Butler meluahkan rasa kecewa terhadap Hodak kerana menghina mendiang ibunya ketika perlawanan pusingan kedua Liga Super antara T-Team dengan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Butler, 46, berkata, walaupun Hodak mengeluarkan kata-kata kesat dalam bahasa Crotia, namun dua penolong jurulatihnya yang berbangsa Crotia membuatkan Butler tahu maksud kata-kata kesat Hodak.

"Dia boleh berkata apa saja kepada saya dan saya boleh menerimanya, namun tidak ada sesiapapun yang boleh menghina ibu sendiri ataupun ibu orang lain," kata beliau dipetik akhbar tempatan.

Butler mengharapkan Hodak yang juga pengurus Kelantan datang memohon maaf semasa waktu rehat ataupun selepas tamat perlawanan yang berkesudahan T-Team menang 1-0 ke atas Kelantan.

Kelantan menang tiga kejuataan musim lalu.

"Sekiranya tiada permohonan maaf daripadanya dalam masa terdekat ini, saya akan membuat aduan kepada FAM.

"Apa yang dilakukannya lebih buruk daripada sikap perkauman yang ditegah oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (Fifa) dan saya tidak mahu dia terlepas begitu sahaja," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...